Salah tafsiran terhadap jawapan parlimen di Dewan Negara telah membawa kepada tanggapan kerajaan melarang warga Malaysia untuk bekerja di ladang di Australia menerusi program visa khusus.
Beberapa ahli parlimen juga mengeluarkan kenyataan bagi menggesa semakan semula terhadap larangan itu - yang sebenarnya tidak berlaku.
Ia bermula pada 11 Oktober lalu apabila Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim ditanya berkenaan perkembangan perbincangan antara Malaysia dan Australia, berkaitan Skim Visa Buruh Ladang negara itu.
Skim itu bertujuan merekrut pekerja dari rantau ini bagi menangani kekurangan pekerja ladang di Australia.
Awang memberitahu Dewan Negara yang Kementerian Sumber Manusia telah diberi penerangan berkenaan perkara itu tetapi tidak berhasrat untuk melaksanakannya.
Menurut Awang, ini kerana skim itu - yang membolehkan migran bekerja dalam sektor perladangan di Australia selama tiga tahun - boleh menjurus kepada penawaran status "penduduk tetap".
Katanya lagi, Malaysia sebaliknya akan mewujudkan program Malaysianisasi dengan matlamat meningkatkan penyertaan warga tempatan dalam sektor tersebut.
Bagaimanapun, satu surat untuk editor yang disiarkan oleh sebuah laman berita pada 13 Oktober menyatakan yang Awang memberitahu Dewan Negara yang Malaysia tidak akan menyertai Skim Visa Buruh Ladang Australia.
Surat itu juga mendakwa Awang berkata skim negara itu akan bersaing dengan program baru kerajaan yang akan menggantikan pekerja asing dalam sektor perladangan dengan warga tempatan.
Kekeliruan antara menyertai atau mencontohi skim itu membawa kepada dakwaan yang larangan telah dikenakan terhadap warga Malaysia daripada menyertai skim itu.
Ketika dihubungi, Awang menegaskan yang dia tidak pernah membuat kenyataan seperti yang didakwa dalam surat tersebut.
Semakan di hansard Dewan Negara mengesahkan perkara itu.
"Saya tak pernah sebut macam itu. Saya sudah jelaskan, rakyat Malaysia tiada halangan. Kita tak halang," katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mejelaskan jika warga Malaysia memang dilarang daripada menyertai skim Australia.
Katanya, Malaysia dan Australia berdepan masalah yang sama iaitu tenaga kerja dalam sektor perladangan dan Malaysia cenderung menggunakan pendekatan "Malaysianisasi" berbanding merekrut imigran seperti yang ingin dilaksanakan Australia.
Skim tangani eksploitasi pekerja Malaysia
Bagaimanapun, surat itu mencetuskan beberapa laporan media berkenaan apa yang dikatakan sebagai larangan, yang kemudiannya mengundang maklum balas beberapa ahli parlimen.
Bekas Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran menyifatkan "larangan" itu sebagai "tidak rasional" dan berkata kerajaan tidak wajar menghalang rakyat daripada mencari pendapatan yang lebih tinggi.
Untuk rekod, AS$1 bersamaan dengan RM3.09.
Ahli Parlimen Selayang William Leong pula menggesa "larangan" itu disemak semula.
Awang yang merupakan ahli parlimen Pendang daripada PAS memberi jaminan tiada larangan seumpama itu.
Kulasegaran dan Leong juga membangkitkan manfaat skim itu, terutama dalam menangani eksploitasi terhadap sesetengah pekerja Malaysia di ladang Australia.
"Penting untuk menyatakan yang skim visa pekerja Asean di Australia memberikan kerajaan Australia dan Malaysia satu jalan untuk menangani masalah ramai pekerja Malaysia di ladang negara itu yang dieksploitasi," katanya dalam kenyataan.
Leong pula berkata, skim itu susulan dapatan jawatankuasa parlimen Australia bahawa eksploitasi buruh berkaitan dengan isu visa, yang digunakan majikan untuk mengawal pekerja migran, termasuk warga Malaysia.
Leong juga menyangkal kenyataan Awang di Dewan Negara yang skim itu akan membawa kepada pemberian status penduduk tetap.
"Jabatan perdagangan dan hal ehwal luar Australia telah menyatakan yang visa itu bukan laluan untuk status penduduk tetap di Australia," katanya.
Dari satu sisi lain pula, kerajaan gagal memberi penjelasan berkenaan kekeliruan itu yang berlarutan selama seminggu, menyebabkan ada pihak yang percaya tentang dakwaan larangan yang dikenakan.