Sempena Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa hari ini, satu gabungan gerakan akar umbi bersama-sama membangkitkan isu berkaitan perkara itu yang dilihat kian memburuk akibat wabak Covid-19.
Menggunakan nama Gabungan Marhaen, mereka mewakili rakyat Malaysia dalam kumpulan B40 dan B20 - dengan B20 sebagai kumpulan dengan pendapatan paling rendah.
Siri acara Himpunan Marhaen diadakan sejak 12 Oktober lalu dengan program pada hari ini membincangkan isu antaranya yang berkaitan pekerja sektor tidak formal, pekerja kontrak, Orang Asli dan pekerja sektor pertanian.
Pada permukaan, sejumlah sektor berkongsi faktor masalah sama iaitu sekitar pendapatan rendah dan pemilikan hartanah, yang diburukkan lagi oleh sekatan yang dikuatkuasakan akibat Covid-19.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Karthi Lenin yang menyentuh isu perumahan mampu milik yang sesuai didiami, berkata kadar gaji minimum pada masa ini, iaitu RM1,200, hanya membenarkan mereka memohon pinjaman perumahan sehingga RM70,000.
"Tapi di mana kita lihat rumah berharga RM70,000?" soalnya.
Menurut Karthi, kerajaan patut membina lebih banyak Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk disewa kepada kumpulan B20 serta menawarkan skim "sewa untuk beli" kepada kumpulan B40.
"Ramai dalam kelompok B40 tidak mampu untuk membayar pinjaman perumahan maka skim sewa untuk beli boleh menjadi satu-satunya jalan untuk mereka akhirnya memiliki rumah," katanya.
Katanya lagi, kerajaan juga boleh mewujudkan dana amanah untuk membina rumah mampu milik yang hanya boleh dijual beli menerusi dana amanah itu, seterusnya menjamin bekalan hartanah mampu milik di luar pasaran.
Dia juga membangkitkan isu perobohan paksa terhadap penempatan awal di tanah kerajaan, isu yang turut dibangkitkan aktivis Orang Asli Tijah Yok Chopil dan anggota PSM R Gandi, yang mewakili golongan petani dan penternak.
Tijah berkata isu pemilikan tanah Orang Asli seringkali melibatkan perkampungan di tanah kerajaan yang tidak diwartakan mengikut Akta Orang Asli 1954.
Katanya, sebarang rundingan untuk projek di tanah itu seringkali hanya melibatkan ketua kampung dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), menyukarkan bantahan disuarakan.
"Jika tanah milik kerajaan, ada kala mereka hanya beri pampasan untuk tanaman yang ditanam di tanah itu, dan ini juga tiada jaminan," katanya yang merupakan pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia.
Dia berkata kerajaan persekutuan menerusi Jakoa, agensi kerajaan negeri serta NGO perlu bekerjasama bagi menangani masalah itu.
'Masalah keadaan pekerjaan'
Bercakap mewakili pengawal keselamatan dan pekerja kebersihan kontrak di kemudahan kerajaan, Husin Mohamad berkata wabak Covid-19 memburukkan lagi terma dan syarat pekerjaan sektor itu yang sedia tidak memuaskan.
Berpengalaman sebelas tahun sebagai pengawal keselamatan, Husin berkata dia tidak menerima sebarang manfaat sebagai pekerja lama kerana kontraknya ditamatkan setiap tiga tahun.
"Sepatutnya selepas tiga tahun saya diberikan 12 hari cuti tahunan.
"Tetapi saya perlu tandatangan kontrak baru dan cuti tahunan kembali jadi enam hari," katanya lagi.
Menggesa kerajaan menyemak semula sistem penyumberluaran bagi perkhidmatan keselamatan dan kebersihan kepada syarikat swasta, Husin berkata pekerja sektor itu terdedah kepada risiko ketidakstabilan pekerjaan dan pengabaian hak asasi mereka sebagai pekerja.
Begitu juga dengan pekerja sektor tidak rasmi seperti yang dibangkitkan Harith Faizal.
Dia berkata pekerja sektor itu, yang menurut tinjauan Jabatan Tenaga Kerja merangkumi 18 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia, kebanyakannya tidak dilindungi sebarang bentuk keselamatan sosial.
Ia termasuklah caruman keselamatan sosial pekerja, insurans dan pematuhan terhadap peraturan gaji minima.
Harith berkata, pekerja tidak rasmi bukan saja melibatkan kerja domestik tetapi merangkumi pemandu e-hailing dan p-hailing - dua segment kerja yang semakin meningkat bilangannya sejak penularan wabak Covid-19.
Siri Himpunan Marhaen akan berakhir malam ini dengan persembahan pemuzik tempatan secara dalam talian.