Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bukan kerajaan keluarkan arak Timah, kata Ahmad Marzuk
Diterbitkan:  Oct 16, 2021 7:33 PM
Dikemaskini: 2:08 PM

Kerajaan tidak boleh dipersalahkan dengan pengeluaran arak baru jenama tempatan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary.

Katanya perusahaan mengeluarkan minuman keras memang sudah wujud di negara ini tetapi ia bukanlah dikeluarkan oleh kerajaan.

Justeru kata ahli parlimen PAS dari Pengkalan Chepa itu adalah tidak wajar bagi sesiapa mengaitkan perkara tersebut dengan kerajaan sekarang seperti yang tular di media sosial sekarang.

"(Pengeluaran arak itu) Bukan usaha kerajaan, tetapi inisiatif pihak lain... tiada pun campur tangan kerajaan dalam perkara ini," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Ahmad Marzuk berkata demikian sebagai mengulas isu arak jenama Timah yang dikatakan produk keluaran negara ini dan tular di laman-laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Netizen mempersoalkan pengeluaran wiski berkenaan ketika PAS kini menjadi sebahagian daripada parti yang memerintah, dan sesetengah pihak mendakwa Malaysia kini ditadbir oleh kerajaan Melayu Islam.

Syarikat pengeluar arak tersebut semalam menjelaskan jemana Timah itu merujuk kepada bijih timah yang banyak di negara ini suatu ketika dulu.

Ia dilancarkan secara rasmi pada 7 Okt lalu oleh Pengarah Winepak Corp, Gilbert Yeo dan Kenny Yeo.  

Tabung Haji bantu asnaf

Dalam kenyataannya arak itu dijelaskan sebagai sejenis wiski dan gambar lelaki pada label produk tersebut ialah salah seorang individu yang memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British dulu, iaitu Kapten Speedy.

"Berdasarkan kepada sejarah itu kami menggunakan nama Timah.

"Kami tidak berniat menjadikan nama kami untuk mencetuskan kontroversi. Sebarang pentafsiran nama kami yang tidak ada kaitan dengan pelombongan bijih timah Malaysia adalah palsu.

"Timah dibuat untuk dinikmati oleh orang bukan Islam yang berumur lebih daripada hal yang dibenarkan undang-undang," katanya.

Kata Ahmad Marzuk sebagai sebahagian daripada kerajaan, PAS sentiasa bertegas dan konsisten membantah penjualan minuman keras di negara ini.

Katanya, pendirian itu adalah selari dengan asas perjuangan PAS sejak dulu lagi.

"Orang bukan Islam nak minum arak dan jual arak dalam kalangan mereka, boleh, tetapi dalam kapasiti yang melihat kepada berapa jumlah keperluan itu," katanya lagi.

Sementara itu Ahmad Marzuk menjelaskan sebanyak RM36 juta disalurkan oleh Lembaga Tabung Haji kepada keluarga asnaf yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu sehingga kini.

Katanya, peruntukan itu disalurkan dalam bentuk barangan keperluan, wang tunai dan pek makanan itu membabitkan lebih 100,000 penerima di seluruh negara.

'KDN, PBT perlu lebih tegas'

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad, berkata parti itu konsisten menolak semua perkara yang bertentangan dengan syariat termasuk industri minuman keras yang menurutnya jelas membawa mudarat kepada sistem sosial, kekeluargaan dan keselamatan masyarakat.

Oleh itu, katanya, PAS mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar lebih tegas dalam mengawal industri tersebut.

"Justeru, PAS menyeru kepada semua pihak untuk berganding bahu dalam usaha membangunkan sebuah negara baru yang lebih baik dan bebas daripada kemudaratan kesan daripada minuman arak yang berleluasa.

PAS turut menggesa KDN agar lebih tegas dalam mengawal industri arak ini. Begitu juga pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab dalam meletakkan syarat yang lebih ketat berkaitan arak," katanya dalamkenyataan hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS