Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwaan perebutan jawatan TKM: Ramasamy tepis ada amalan berpuak
Diterbitkan:  Oct 16, 2021 4:55 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy menepis dakwaan wujudnya amalan berpuak, terutama dalam kalangan pemimpin India di Pulau Pinang.

Ia ekoran laporan yang mendakwa Ramasamy berhasrat untuk bertanding kerusi Parlimen pada PRU akan datang, menyebabkan jawatan timbalan ketua menteri II yang mungkin akan ditinggalkan kosong itu menjadi rebutan.

Ramasamy yang merupakan Adun Perai, berkata dia mungkin ada keinginan tertentu tetapi akhirnya parti yang akan membuat keputusan.

“Sama ada saya akan bertanding di kerusi parlimen atau meneruskan di kerusi negeri sekarang ini masih belum ditentukan.

“Masih ada masa untuk pencalonan. Parti akan memutuskannya sebaik sebelum PRU akan datang.

“Saya mungkin ada keinginan tertentu, tetapi pandangan parti adalah lebih penting daripada keputusan saya sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Menurut laporan Free Malaysia Today, pemimpin-pemimpin yang dilihat sekutu Ramasamy dilaporkan berdepan cabaran sukar jika dia meninggalkan politik negeri untuk ke peringkat persekutuan.

Laporan itu mendakwa ada “pendatang baru” yang mengetuai gerakan yang mahu mengatasi puak Ramasamy. Bagaimanapun, Ramasamy menafikan dakwaan itu.

“Saya ragu-ragu (dakwaan) tentang pendatang baru ini, apatah lagi untuk dia menyasarkan jawatan timbalan ketua menteri.

“Mungkin FMT boleh beri saya lebih banyak maklumat tentang pendatang baru ini dan bagaimana dia menjadi begitu berkuasa dalam parti,” katanya lagi.

Laporan itu menamakan ahli majlis bandaraya P David Marshel dan Adun Bagan Dalam Satees Muniandy sebagai sekutu Ramasamy dalam parti, dan mereka ditentang oleh “pendatang baru yang bercita-cita tinggi”, yang tidak dinamakan.

“Bagi saya, tak ada amalan berpuak-puak dalam DAP secara umumnya dan dalam kalangan ahli India secara khususnya.

“Mungkin ada individu atau kumpulan yang menentang saya dalam beberapa hal, dan menyokong pula dalam hal-hal yang lain,” kata Ramasamy.

Tambahnya, tiada siapa yang kebal daripada kritikan dan bangkangan, meskipun untuk ahli politik dengan prestasi terbaik.

“Tak ada istilah tiada langsung bangkangan. Saya pun pernah membangkang dan mengkritik. Ini adalah sebahagian daripada demokrasi yang mekar,” katanya.

Pada 2011, berlaku ketegangan dalam DAP Pulau Pinang ekoran perselisihan antara puak, meskipun akhirnya ia dapat diselesaikan.

Ketika itu, Ramasamy bertikam lidah dengan timbalan pengerusi DAP pada masa itu, Karpal Singh, menyebabkan gelar-menggelar seperti “warlord” dan “godfather”.

Ramasamy kemudian menjelaskan bahawa komen yang dibuatnya bukanlah ditujukan kepada Karpal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS