mk-logo
Berita
Peletakan jawatan pengerusi TH: Timbalan menteri nafi ada tekanan politik
Diterbitkan:  Oct 16, 2021 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Ahmad Marzuk Shaary menafikan wujud tekanan atau campur tangan politik di sebalik peletakan jawatan tiba-tiba Md Nor Yusof sebagai pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Untuk membuktikan keadaan itu Ahmad Marzuk berkata Md Nor sudah tentu ditukar dengan orang lain ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri pada tahun lalu.

Pada masa sama ahli parlimen Pengkalan Chepa itu juga mengingatkan Md Nor dilantik ke jawatan berkenaan selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

"Kalau (ada) campur tangan politik, semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin lagi kita tukar," katanya seperti dipetik Sinar Online di Kota Bharu hari ini.

Md Nor merupakan bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines System dan dilantik menjadi pengerusi agensi pengendali deposit umat Islam Malaysia itu pada 13 Julai 2018.

Sementara itu bekas ketua pegawai eksekutif BIMB Holdings Bhd Zukri Samat pula dilantik menjadi ketua pegawai eksekutif baru Tabung Haji.

Ia adalah antara penyusunan semula agensi kerajaan yang dilakukan PH selepas gabungan itu mendapat mandat untuk menjadi kerajaan pusat melalui pilihan raya umum (PRU) yang diadakan beberapa bulan sebelum itu.

Jawatan pengerusi Tabung Haji sebelum itu diisi Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.

Anggap penyelamat sebenar

Bagaimanapun semalam Tabung Haji mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan Md Nor yang berkuat kuasa serta-merta.

Ahmad Marzuk berkata proses penggantian seperti yang berlaku di Tabung Haji adalah perkara biasa dalam sesebuah organisasi.

Tambahnya setiap menteri yang baru mempunyai perancangan tersendiri untuk agensi berkenaan.

"Menteri boleh bertukar lebih kerap, jadi satu perkara biasa jika pengurusan atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah agensi kerajaan bertukar.

Md Nor semasa menerima pelantikan daripada Dr Mahathir Mohamad pada 2018

"Kita melihat kepada kesesuaian dan perancangan strategik dalam membuat perubahan," katanya.

Sementara itu bekas Menteri di JPM Mujahid Yusof berkata tempoh kontrak Md Nor sebagai pengerusi Tabung Haji sepatutnya berbaki tiga tahun lagi namun kini dia memilih untuk bersara terlalu awal.

"Saya yakin sebagai pengerusi beliau mungkin berasa tidak selesa dengan sikap kerajaan hari ini yang langsung tidak memberikan pengiktirafan kepada usaha pemulihan Tabung Haji, malah penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang diumumkan adalah lebih kepada tekanan politik bagi mewajarkan fitnah mereka semasa saya menjadi menteri yang bertanggungjawab," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Tambah naib presiden Amanah itu dia kagum dengan pendirian Md Nor kerana sanggup meningkalkan keselesaan jawatannya ketika Tabung Haji sudah berjaya dipulihkan.

"Betapa sukarnya ketika beliau mengambil alih (jawatan tersebut) pada 2018, apabila Tabung Haji ditinggalkan dalam keadaan tenat dan nazak.

"Tan Sri Md Nor adalah penyelamat sebenar yang memberi talian hayat kepada Tabung Haji dan menjadi kebanggan umat Islam," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS