Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRN Melaka: Umno belum putuskan untuk panggil PAS bincang soal kerusi
Diterbitkan:  Oct 15, 2021 9:21 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Umno Melaka tidak berhasrat untuk memanggil PAS bagi membincangkan isu agihan kerusi, sebaliknya mahu memberi fokus usaha memperkukuhkan parti itu terlebih dulu.

Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh, berkata parti itu tidak memikirkan soal kerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi pilihan raya negeri Melaka buat masa ini.

"Kita belum lagi memutuskan untuk memanggil pihak PAS sehingga keputusan yang akan dibuat nanti," katanya dalam sidang media di Melaka hari ini.

Sidang media itu diadakan secara bersama dengan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

"Apa pun kita fikirkan kedudukan dan kekuatan parti kita terlebih dulu sebelum kita mengambil kira untuk berkongsi dengan sesiapa sekali pun.

"Umno mesti memperkukuhkan kekuatan parti terlebih dulu, barulah kita boleh lihat siapa juga datang berunding," kata Ab Rauf lagi.

Terdahulu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberitahu parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun PAS semasa menempuh PRN Melaka - yang belum ditetapkan tarikhnya itu.

Dalam sebuah program bual bicara beberapa hari lalu Ahmad Zahid memberitahu pendirian tersebut selepas ditanya pengacara mengenai status Muafakat Nasional yang dimeterai Umno bersama PAS.

"Oleh kerana Muafakat Nasional ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk Muafakat Nasional itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK (pilihan raya kecil) yang pernah diadakan.

"Biarlah Umno bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan insya-Allah rakyat memilih parti yang terbaik," kata Ahmad Zahid

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi tidak membuat sebarang ketetapan berhubung kerjasama dalam pilihan raya negeri Melaka dan dijangka akan bermesyuarat sekali lagi.

Dalam pada itu, Ab Rauf ketika ditanya mengenai PAS sebagai "kingmaker" dalam pilihan raya negeri Melaka, dia berkata Umno tidak mencampuri urusan parti sekutunya itu.

"Itu PAS saya tidak campur urusan parti dia lah, saya hanya uruskan jentera Umno," katanya lagi.

Mengulas mengenai calon-calon yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri, Ab Rauf berkata ia akan diputusan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat ketetapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS