Sekumpulan penduduk di Pandamaran memenangi kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam untuk menolak perintah pengusiran yang difailkan oleh pemaju tempatan terhadap mereka tahun lalu.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee mengadakan sidang media pagi ini bersama peguam John Fam dan Freida Santhiago untuk mengumumkan kemenangan penduduk dalam kes itu.
Menyifatkan keputusan kes itu sebagai jarang terjadi di mana mahkamah berpihak kepada penduduk, Santiago mengkritik pemaju kerana mengemukakan perintah pengusiran pada November lalu ketika wabak Covid-19 melanda.
Katanya, penduduk di sepanjang Jalan Papan sudah tinggal di kawasan itu untuk beberapa generasi.
Rundingan antara kerajaan negeri, penduduk, dan pemaju Melati Ehsan Holdings Bhd untuk membina unit perumahan pengganti masih berlangsung pada November lalu ketika penduduk tiba-tiba menerima perintah pengusiran.
"Ini adalah orang yang telah tinggal di sana selama bertahun-tahun, dan mereka adalah orang miskin yang masih tinggal di sana.
"Tetapi pada saat memuncaknya pandemik, (pemaju) dengan cara yang sangat buruk, meminta (penduduk) untuk mengosongkan kawasan itu," kata Santiago.
Mengulas kes itu, peguam Freida Santhiago mengatakan dia dan pasukannya berhujah di mahkamah bahawa penduduk tidak boleh digelar sebagai penduduk setinggan, oleh itu Perintah 89 Peraturan Mahkamah 2012 (Pengusiran Setinggan) yang diajukan oleh pemaju tidak sah.
Dia mengatakan jaminan telah diberikan oleh pelbagai pihak berkuasa kepada penduduk pada masa lalu mengenai Lesen Pendudukan Sementara (TOL).
Bekalan air, elektrik, talian telefon, alamat pos kepada penduduk juga terbukti bahawa mereka bukan penduduk setinggan.
"Mereka telah menduduki tanah selama lebih 80 tahun, namun tidak ada tindakan yang diambil untuk mengusir mereka dari tanah itu," tambahnya.
Santhiago mengatakan bahawa hakim akhirnya yakin dengan hujah mereka bahawa penduduk berkenaan bukan penduduk setinggan dan membatalkan perintah pengusiran yang diajukan oleh Melati Ehsan.
Sementara itu, ketua persatuan penduduk Jalan Papan Teoh Ah Guat mendakwa pihak pemaju berulang kali mengingkari janji untuk membina unit perumahan pengganti, dan mendesak campur tangan kerajaan negeri.
"Masalah ini sudah lama berlarutan. (Pemaju) telah bersetuju untuk membina rumah kami, tetapi mereka tidak memberikan apa-apa kepada kami.
"Kemudian mereka memberi kami notis peguam secara tiba-tiba. Itu tidak adil bagi kami.
"Saya harap kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap masalah ini dan membantu kita," katanya pada sidang media.
Isu penduduk di Jalan Papan berlarutan sejak 1990an ketika Menteri Besar Selangor ketika itu Muhammad Muhammad Taib berjanji kepada penduduk untuk meluluskan 1,000 Lesen Pendudukan Sementara semasa kempen pilihan raya 1995.
Bagaimanapun, tanah tersebut diberikan kepada TPPT Sdn Bhd selepas pilihan raya. Syarikat itu merupakan anak syarikat bukan berdasarkan keuntungan Bank Negara Malaysia (BNM).
Pada tahun 2007, TPPT menjual tanah tersebut kepada Melati Ehsan, dengan harga RM 32 juta, dan Melati Ehsan berjanji akan membina unit pengganti untuk penduduk.
Menurut peguam, susulan keputusan mahkamah membatalkan perintah pengusiran, rundingan untuk penggantian unit masih berlangsung, dan kesepakatan dijangka dicapai pada akhir bulan ini.