GLOBAL | Asalnya lelaki yang bekerja dengan pihak berkuasa tempatan itu menandatangani borang sebagai penjamin dengan keyakinan tidak ada apa-apa masalah akan menimpanya.
Tambahan pula dia menjadi penjamin untuk isteri seorang pegawai polis yang membuat pinjaman bagi membeli sebuah mesin traktor bernilai 860,000 baht (RM107,475).
Namun isteri polis terbabit culas melunaskan bayaran hutangnya.
Maka bebanan kini ditanggung si penjamin, Rakthewa Khapim-udomlarp, 48, yang juga seorang kakitangan PBT Khemarat, Ubon Ratchathani di timur Thailand.
Sebagai penjamin, pihak bank menuntut Rakthewa menjelaskan baki pinjaman isteri polis berkenaan. Kerana ketiadaan wang yang mencukupi pihak bank merampas rumah dan tanahnya.
Hartanah tersebut dirampas oleh pihak berkuasa baru-baru ini dan ditawarkan untuk lelongan.
Terdesak dengan keadaan itu dia dilaporkan bercadang menawarkan mata dan buah pinggang isteri dan anak-anaknya untuk mencukupkan wang bagi menyelamatkan harta mereka.
Semalam lapor Bangkok Post keluarga terbabit berjalan sejauh kira-kira 100km dalam hujan lebat dari rumah mereka di Khemarat ke ibu negeri Ubon Ratchathani untuk mengadu nasib.
Rakthewa bercadang mahu memaklumkan kesusahan yang dialami mereka sekeluarga kepada Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, yang mengadakan lawatan ke wilayah tersebut hari ini.
Di sepanjang jalan itu, lapor portal media berkenaan, keluarga Rakthewa disambut dan diberi kata-kata semangat oleh orang ramai sebagai sokongan moral.
Menceritakan kesusahannya, Rakthewa berkata dia mengenali pegawai polis terbabit sejak kecil dan pada Julai 2014 diminta menjadi penjamin untuk pembelian isterinya.
Ketika itu katanya pegawai polis berkenaan berjanji tidak akan ada sebarang masalah berbangkit.
Hanya dua tahun kemudian Rakthewa menerima surat mahkamah bagi memaklumkan ada masalah dalam pembayaran semula pinjaman membeli traktor tersebut.
Pegawai polis kenalan Rakthewa itu pula memberitahu kes tersebut sedang diselesaikan di mahkamah.
Pada Ogos 2016 mahkamah mengarahkan isteri pegawai polis berkenaan menyerahkan semula traktor itu namun ia tidak dilakukan wanita berkenaan.