Polis telah menahan dua lelaki setelah beberapa klip video menunjukkan mereka memukul pengemis dengan rotan di bangungan Menara Komtar di Pulau Pinang - yang juga menempatkan pejabat ketua menteri - menjadi viral di media sosial.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata suspek juga menyerang lelaki yang merakam video tersebut. Lelaki itu kemudian membuat laporan polis.
"Menurut mangsa, pada 6 Oktober 2021 jam lebih kurang 2 petang, beliau telah merakam menggunakan telefon bimbit tentang tindakan dua orang lelaki memukul seorang lelaki (peminta sedekah) menggunakan rotan di hadapan Maybank, Komtar, Georgetown Pulau Pinang.
"Apabila tindakan mangsa merakam perbuatan kedua-dua lelaki berkenaan disedari, kedua-dua lelaki berkenaan telah bertindak memukul mangsa dengan rotan berkali-kali hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan lebam di belakang badan, siku kanan dan betis kiri.
"Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.
"Berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan sering memukul peminta sedekah atau orang gelandangan yang berada di lokasi kejadian," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Sofian berkata dua suspek itu masing-masing berusia 43 dan 27 tahun bekerja “penyelia pembersihan di bangunan Komtar," dengan salah seorang daripada mereka memiliki ekod jenayah lampau.
"Kedua-dua suspek telah direman selama dua hari sehingga 12 Oktober 2021.
"Kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera dengan senjata).
"Kertas siasatan telah lengkap dan akan dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut," katanya.
Salah satu video menyebut suspek sebagai "mafia Komtar" manakala yang lain menunjukkan orang kelainan upaya (OKU) yang berdarah di kepala, didakwa akibat serangan itu.
Kejadian itu turut mendapat perhatian bekas menteri, Rafidah Aziz, yang berkata individu dan perniagaan tidak boleh menangani perkara sedemikian tanpa mengikut undang-undang.
"Perlu ada prosedur dan kod etika yang jelas untuk pelanggaran dalaman atau pelanggaran dalam organisasi atau entiti perniagaan.
"(Sementara) untuk kes-kes yang melibatkan orang lain di luar organisasi, seperti dalam keadaan orang miskin dan orang kurang upaya yang mencari perlindungan di premis Komtar, harus ada juga petunjuk yang jelas bagi mereka yang bertanggung jawab tentang bagaimana menangani masalah tersebut," katanya kata Malaysiakini.
Rafidah berkata perkara yang melibatkan kehadiran pengemis dan kehilangan tempat tinggal seharusnya dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Tidak boleh dibiarkan oleh siapa pun untuk menggunakan taktik kekerasan, terutama dalam menangani mereka yang memerlukan pertolongan.
"Harus ada unsur kemanusiaan yang diperlukan dalam menangani golongan yang kurang bernasib baik," tambahnya.