Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah elak cukai import senjata api
Diterbitkan:  Oct 14, 2021 2:22 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dihadapinya berhubung pengelakan duti dan cukai bagi pengimportan senjata api dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Sepang hari ini.

Zaikry Sany Mohd Isa, 43, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar dan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Di Mahkamah Sesyen, Zaikry Sany didakwa membuat pengikraran yang tidak benar melibatkan konsaini iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di dalam satu Borang Kastam 1 W20-1-07-049664/2016 di MASkargo Kompleks Free Commercial Zone (FCZ), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 20 Julai 2016 pukul 6.11 petang.

Pengikraran tidak benar tersebut telah menjejaskan tanggungannya terhadap nilai cukai barang dan perkhidmatan sebanyak RM20,229.73 menurut Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 bagi pengimportan 50 unit pistol dan 70 unit shotgun.

Zaikry Sany didakwa di bawah Seksyen 88 (c) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan maksima lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Kastam Putrajaya Mohd Azawan Shah Amdan menawarkan jaminan RM15,000 namun Zaikry Sany, yang tidak diwakili peguam, merayu agar jumlah jaminan itu dapat dikurangkan dengan alasan perlu menanggung keluarga.

Hakim Noorhisham kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Di Mahkamah Majistret, Zaikry Sany menghadapi dua pertuduhan yang berlaku di MASkargo Kompleks FCZ, KLIA, Sepang pada 20 Julai 2016 pukul 6.11 petang.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah membuat suatu pengikraran yang tidak benar melibatkan konsaini iaitu TLDM di dalam satu Borang Kastam 1 W20-1-07-049664/2016 bagi mendapatkan pengecualian duti menurut Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2013.

Dia didakwa di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Zaikry Sany didakwa telah terlibat dalam secara frod mengelak duti import iaitu RM77,806.65 yang dikenakan di bawah Perintah Duti Kastam 2012 (Seksyen XIX, Bab 93) ke atas 50 unit pistol dan 70 unit shotgun, dengan menggunakan pengikraran Borang Kastam 1 W20-1-07-049664/2016.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti kastam iaitu RM778,066.50 dan tidak lebih 20 kali ganda dari amaun duti kastam iaitu RM1.55 juta atau hukuman penjara maksima tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Azawan Shah menawarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu, dan Majistret Ayuni Izzati kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mohd Azawan Shah turut memohon kepada Majistret Ayuni Izzati untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen dengan mengambil kira tertuduh menghadapi pertuduhan yang sama di mahkamah berkenaan.

Mahkamah menetapkan 26 Nov depan untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS