mk-logo
Berita
Isu nyah warta hutan Bukit Cherakah: Persatuan gesa bertemu k'jaan Selangor
Diterbitkan:  Oct 13, 2021 4:33 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACFS) menggesa satu pertemuan dengan kerajaan Selangor diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan status sebenar nyah warta Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Cherakah di Shah Alam.

Jurucakap SACFS Teckwyn Lim berkata pertemuan ini penting susulan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar negeri Hee Loy Sian pada 24 Sept lepas yang telah menimbulkan kekeliruan berhubung status penyahwartaan hutan tersebut.

Menurut Lim, semakan pihaknya terhadap dokumen Pemberitahuan Warta PW1443 diterbitkan pada tahun 2006 yang dirujuk Hee sebagai bukti nyah warta itu, tidak langsung menyebut berkenaan HSK Bukit Cherakah.

“Kami juga menjumpai dan mendapatkan satu salinan peta terbitan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Selangor bernombor PW1443.

“Walaupun peta ini memang menunjukkan kawasan HSK Bukit Cherakah, namun tidak sama dengan kandungan dokumen Pemberitahuan Warta yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor 2006,” katanya selepas menyerahkan surat permohonan janji temu kepada wakil pejabat Hee di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di Shah Alam, hari ini.

Lim berkata di bawah Enakmen Perhutanan Negeri Selangor 1985, penyahwartaan hutan simpan kekal wajib diterbitkan dan disempurnakan melalui proses pemberitahuan menerusi Warta Kerajaan Negeri Selangor.

Katanya, SACFS telah merujuk pasukan peguam mereka dan mengesahkan bahawa pandangan pihaknya adalah selari dengan tuntutan undang-undang, iaitu berdasarkan fakta, kawasan Hutan Komuniti Shah Alam di Bukit Cherakah masih dalam status HSK dan tidak pernah dinyahwartakan.

“Dari sisi undang-undang, tanah dalam kawasan HSK Bukit Cherakah tidak boleh digunakan untuk pembangunan. Sebarang pembangunan di tepi Jalan Mokhtar Dahari, Puncak Alam adalah menyalahi undang-undang serta wajib dihentikan serta-merta,” katanya.

Kerajaan Selangor pada 24 Sept lepas memaklumkan projek pembangunan jalan raya dan perumahan berhampiran HSK Bukit Cherakah dan Hutan Komuniti Shah Alam berlaku di luar kawasan HSK, selepas beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam membangkitkan isu itu di media sosial.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS