Sektor pelancongan di negeri-negeri di Pantai Timur dijangka kembali pulih dalam tempoh singkat berikutan sambutan dan kehadiran pengunjung yang dicatatkan di lokasi tarikan pengunjung sangat memberangsangkan.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Hafiz Hazin berkata hasil tinjauan yang dilakukan di Kelantan, Terengganu dan Pahang mendapati banyak kawasan pelancongan sudah mula dikunjungi orang ramai.
“Sebagai contoh di Tasik Kenyir, Terengganu dalam tempoh tiga minggu sahaja direkodkan seramai 35,000 pelancong domestik datang selepas beralih dari Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Tinjauan di Cameron Highlands, Pahang dan pulau-pulau juga menunjukkan sudah ada penerimaan pelancong dan itu satu petanda baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu hari ini.
Mengulas lanjut, Hafiz berkata pemain industri juga sudah bersedia menerima pelancong dalam kehidupan norma baharu.
"Sebagai contoh, bila pelancong datang dan sekiranya ada kes Covid-19, tempat mereka sudah pasti akan ditutup.
“Saya yakin pemain industri akan sentiasa memastikan segala syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan dipatuhi," katanya.
- Bernama