Beberapa pemimpin kanan Umno dan PAS mengadakan pertemuan petang tadi ketika kemelut politik Melaka dan status Muafakat Nasional terus menjadi perhatian.
Melalui hantaran di media sosial, pertemuan tersebut dipercayai diadakan di sebuah restoran.
Pemimpin Umno yang hadir ialah timbalan presidennya, Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir; dan ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
PAS pula diwakili timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Idris Ahmad.
"Sama-sama mencari titik-titik persamaan demi memperteguhkan ukhwah," tulis Asyraf Wajdi.
Umno dan PAS memeterai piagam bersama untuk membentuk Muafakat Nasional semasa kedua-dua parti terbabit menjadi pembangkang.
Bagaimanapun selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu tanpa berbincang terlebih dulu dengan Umno.
Pada masa sama hubungan Umno dengan Bersatu - yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin Umno - terus berada dalam keadaan tegang.
Umno juga pernah menegur secara berkias kedudukan PAS bersama Bersatu semasa parti itu mengadakan perhimpunan agung tahunannya awal tahun ini.
Persidangan tahunan Umno itu juga menyaksikan Pemuda PAS menegur Pemuda Umno selepas mereka berasa tersinggung dengan ucapan Asyraf Wajdi.
Jika pilihan raya negeri diadakan di Melaka bagi mendapatkan mandat baru membentuk kerajaan, ia akan menjadi medan ujian pertama buat Umno untuk menguruskan perbezaan mereka dengan PN dan PAS.