Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 14 Disember untuk mendengar permohonan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang menolak rayuan kumpulan itu untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Peguam Muda, Lim Wei Jiet mengesahkan bahawa mahkamah menetapkan tarikh pendengaran semasa pengurusan kes bagi permohonan semakan kehakiman (pengurusan kes dalam talian antara pihak terlibat bermula semalam dan selesai hari ini).

"Pendengaran ditetapkan pada 14 Disember," kata Lim ketika dihubungi Malaysiakini hari ini ini.

Pada 21 September lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan kumpulan penaja Muda memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Hamzah pada 12 Ogos yang menolak rayuannya.

Ini bermakna 14 Dis ditetapkan untuk pihak-pihak terlibat mengemukakan merit terhadap tindakan undang-undang yang diambil mereka.

Pada 12 Ogos, Hamzah menolak rayuan Muda untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik. 

Berikutan itu kumpulan berkenaan menarik balik permohonan semakan kehakiman untuk memaksa Hamzah membuat keputusan berhubung rayuan untuk mendaftarkan parti politik itu secara rasmi. 

Ini merupakan tindakan undang-undang kali ketiga dilakukan Muda untuk mencabar keputusan Hamzah kerana dipercayai lewat dalam membuat keputusan. .

Sebelum ini mereka berusaha menuntut menteri berkenaan membuat keputusan berhubung rayuan kumpulan itu. Tindakan undang-undang itu dikemukakan awal tahun ini, sebelum keputusan dibuat Hamzah pada 12 Ogos lalu.

Muda dipelopori oleh bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga merupakan ahlipParlimen Muar.

Syed Saddiq pernah menjadi ketua Pemuda Bersatu sebelum keluar daripada parti itu. Muda ditubuhkan sebagai platform politik untuk anak muda dan berbilang kaum.

Dikatakan antara alasan mengapa tindakan undang-undang yang dikemuakan oleh Muda gagal adalah kerana terdapat tuduhan bahawa menteri dalam negeri meminta anggota parlimen Muar itu untuk menyatakan "komitmen" terhadap perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Muda telahpun memfailkan tindakan undang-undang pertama untuk pendaftarannya tetapi tidak berjaya. Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 4 Februari memutuskan bahawa Muda sepatutnya merayu kepada menteri terlebih dahulu sebelum memfailkan permohonan di mahkamah

Muda mengamnil tindakan undang-undang buat pertama kali apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 6 Januari menolak permohonannya untuk mendaftarkan ia sebagai parti politik. Kumpulan itu kemudian mengemukakan rayuan kepada menteri pada 4 Februari.

Namun, Muda mengambil tindakan undang--undang kali kedua selepas mendakwa Hamzah lewat dalam memutuskan rayuannya untuk pendaftaran parti itu.

Lim, yang juga naib presiden penaja Muda pada ketika itu menyuarakan kekecewaannya dengan keputusan menteri berkenaan pada 12 Ogos lalu.

Katanya, waktu keputusan itu dibuat menunjukkan pihak berkuasa berusaha untuk menangguhkan pendaftaran Muda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS