Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polemik kemiskinan lumrahnya berkisar tentang aspek “mengisi perut”, iaitu memastikan sentiasa ada makanan untuk mereka yang berkenaan, namun, ada aspek lain yang barangkali jarang terlintas di fikiran kebanyakan kita, iaitu bagaimana kemiskinan memberi kesan kepada kaum hawa - remaja atau dewasa - dalam menguruskan haid mereka.

Pernahkah kita terfikir bagaimana kaum hawa yang tinggal dalam keadaan serba kekurangan menguruskan aspek “datang bulan”, yang mungkin dianggap remeh dan tabu dalam kalangan sesetengah ahli masyarakat?

Tahukah kita bahawa ada pelajar perempuan di negara ini sanggup ponteng sekolah semata-mata kerana tidak selesa dan malu setiap datang bulan kerana tidak mampu membeli tuala wanita yang bagi mereka adalah barangan mewah?

Mungkin sukar untuk dipercayai, tetapi inilah realiti yang sering ditemukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) ketika melakukan program komuniti di kawasan pedalaman, terutama di Sabah, Sarawak ataupun bersama masyarakat Orang Asli.

Lebih membimbangkan, isu ini juga semakin menekan kelompok miskin bandar, terutama semasa penularan pandemik COVID-19 sejak tahun lepas, yang menyebabkan ramai dalam kalangan kaum hawa terpaksa “mengorbankan” tuala wanita kerana faktor kewangan.

Kekeliruan kemiskinan haid

Pada 2018, Bank Dunia menganggarkan lebih kurang 500 juta wanita di seluruh dunia tidak mampu memperoleh keperluan asas sewaktu haid atau turut diistilahkan sebagai “kemiskinan haid”.

Negara ini juga berdepan masalah sama, namun tidak diangkat sebagai polemik terbuka menyebabkan hingga kini tiada data dikeluarkan berkenaan jumlah sebenar kumpulan yang terkesan oleh permasalahan itu.

Bukan itu sahaja, kekeliruan tentang kemiskinan haid juga masih tinggi dalam masyarakat apabila isu tersebut hanya dipandang dari satu sudut, iaitu kekangan membeli barangan peribadi untuk kebersihan ketika haid.

Bagaimanapun menurut pakar sosiologi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Sh Fatimah Alzahrah Syed Hussien, pandangan itu tidak tepat kerana kemiskinan haid meliputi aspek yang lebih kompleks, terutama dalam memastikan pengurusan haid yang selamat, bersih dan bermaruah.

Katanya ada empat elemen asas yang perlu ditangani dalam menyelesaikan isu kemiskinan haid, iaitu akses kepada produk sanitari, ilmu dan didikan tentang haid, akses kepada infrastruktur sanitari, dan privasi untuk menukar tuala wanita.

“Kekeliruan tentang kemiskinan haid ini yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat kerana jika kita tidak serius menangani permasalahan ini, ia akan mengakibatkan krisis kesihatan dalam kalangan wanita, seterusnya memberi impak buruk kepada kehidupan seharian mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang sedang mengkaji kemiskinan haid dalam kalangan belia, berkata stigma dan perspektif negatif tentang haid yang masih menebal dalam kalangan masyarakat dengan menganggap isu itu adalah masalah peribadi, mengehadkan ruang perbincangan.

Ketiadaan usaha untuk membincangkan isu kemiskinan haid secara terbuka menjadikan isu itu sukar diatasi dan ini juga yang menyebabkan masih ramai dalam kalangan wanita tidak tahu menguruskan haid dengan cara yang betul, katanya.

Beliau berkata kesan jangka panjang ialah masalah kesihatan, terutama jangkitan kuman apabila kebersihan sewaktu haid tidak diuruskan dengan sebaiknya.

Tingkatkan pemantauan

Sh Fatimah Alzahrah yang merupakan Penasihat PeduliMerah, satu gerakan advokasi kemiskinan haid di Malaysia yang menggabungkan NGO dan penyelidik, berkata setiap individu perempuan perlu mendapat akses terhadap keperluan asas seperti tuala wanita dan peluang pendidikan yang setara.

Kerajaan perlu mengumpulkan data rasmi bagi mengesan jumlah sebenar wanita yang terkesan oleh kemiskinan haid agar usaha dapat dijalankan untuk menangani isu tersebut, katanya.

“… ketika pandemik COVID-19, ramai yang terkesan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, dan melalui pemerhatian di kawasan perumahan kos rendah projek perumahan rakyat (PPR), permintaan kepada produk menjagaan haid ketika pandemik meningkat,” katanya, menambah melalui data itu kerajaan boleh mengeluarkan peruntukan untuk membantu golongan terjejas.

Pada masa ini, banyak negara di dunia mengambil langkah menangani cabaran kemiskinan haid, contohnya Britain yang memperuntukkan dua juta pound (RM10.7 juta) kepada pertubuhan yang berusaha menamatkan kemiskinan haid secara global, selain 250,000 pound (RM1.3 juta) untuk petugas khas jabatan kerajaan, badan kebajikan dan perusahaan persendirian bagi menangani isu itu.

Scotland pula memberi akses percuma kepada barangan haid kepada semua wanita dan berjaya menangani kemiskinan haid secara efektif. Begitu juga Perancis yang mengurangkan cukai jualan untuk barangan haid, sementara New Zealand memberi tuala wanita secara percuma kepada semua murid perempuan di sekolah, kata Sh Fatimah Alzahrah.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar kerajaan menimbang pembelajaran berkaitan haid di sekolah pada setiap peringkat agar dapat menghapuskan stigma terhadap haid dan melihat perkara tersebut sebagai satu proses semula jadi, selain menggalakkan perbincangan positif.

Pihak berwajib juga perlu melakukan pemantauan bagi mengenal pasti kelompongan dalam ketersediaan fasiliti di sekolah dan tempat awam demi memudahkan wanita menguruskan haid mereka.

Bantu hapus stigma

Sementara itu, usaha tiga sahabat, Fitriyati Bakri,26; Maisarah Razali,29; dan Amir Junaidi, 32, yang merupakan alumni Mycorps, sebuah badan sukarelawan belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan, memulakan inisiatif memberi tuala wanita guna semula secara percuma kepada golongan memerlukan, terutama di kawasan pedalaman, semakin mendapat sambutan.

Projek yang digerakkan sejak dua tahun lepas itu atas nama BUNGA Pads, adalah cetusan daripada pengalaman Fitriyati yang menyertai misi pembangunan komuniti selama dua bulan di Gabura, Satkhira, Bangladesh pada 2017.

Matlamat gerakan itu ialah untuk mengurangkan jumlah pelajar perempuan yang ponteng sekolah ketika haid selain memberi peluang pekerjaan kepada ibu tunggal yang kurang berkemampuan dengan menjadi tukang jahit tuala wanita boleh guna semula.

Semangat untuk memulakan projek tersebut semakin berkobar-kobar apabila mereka melihat sendiri isu kemiskinan haid yang berlaku di beberapa kawasan di pedalaman Sabah.

“Rasa ditampar-tampar apabila masalah ini turut berlaku di Malaysia, terutamanya di negeri kelahiran saya sendiri iaitu Sabah.

“Percayalah, isu kemiskinan haid ini bukan sahaja berlaku di negara kurang membangun seperti Nepal, Bangladesh dan India, tetapi turut dialami pelajar perempuan di perkampungan Orang Asli dan di pedalaman Sabah dan Sarawak,” kata Fitriyati kepada Bernama.

Menurutnya, kemiskinan haid yang berlaku antaranya di Pulau Mabul dan Pulau Omadal di Sabah, bukan semata-mata isu tidak mampu membeli tuala wanita, sebaliknya melibatkan keempat-empat elemen asas pengurusan haid.

“Tiada ilmu tentang pendidikan haid, tiada tandas malah ada tempat di Pulau Mabul contohnya, perlu membeli air untuk mandi.

“Ada pelajar sekolah dari pulau itu, jika datang haid tidak pergi ke sekolah yang terletak di tanah besar, sebab tidak selesa kerana tidak ada duit untuk membeli tuala wanita,” katanya.

Kerjasama NGO

Jelasnya, BUNGA Pads yang turut mendapat kerjasama daripada pelbagai NGO, memberi fokus kepada tiga perkara utama iaitu pendidikan, alam sekitar dan memperkasakan wanita.

Usaha itu bertujuan mendidik remaja perempuan menguruskan haid dengan betul, terutama mengenai kebersihan peribadi dan pendidikan kesihatan reproduktif, selain mengeluarkan produk sanitari yang lebih selamat dan bersifat mesra alam.

Projek menjahit tuala wanita pula ditumpukan pada kumpulan ibu tunggal dalam golongan B40 selain menyasarkan untuk menubuhkan sekolah vokasional khusus dalam bidang jahitan bagi membantu kumpulan tersebut dan pelajar tercicir.

Turut prihatin terhadap isu berkenaan ialah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menerusi pasar rayanya, YADIMart, yang menyediakan tuala wanita percuma kepada golongan wanita miskin bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh menyifatkan isu kemiskinan haid adalah realisme kepada situasi sebenar yang dihadapi oleh rakyat kelompok terbawah.

Beliau berkata antara tujuan penubuhan YADIMart, selain memenuhi objektif pembinaan ekonomi dan perniagaan, juga untuk berdakwah dan kebajikan.

“Bagi kami, projek bank makanan akan dijadikan identiti wajib. Di ruang ini, kami tidak sekadar meletakkan barangan makanan tetapi juga barangan keperluan bukan makanan termasuk tuala wanita,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS