Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakaman audio isu Melaka: Idris nafi, anggap perbualan 'kurang ajar'

Bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron, menafikan dia adalah orang yang didakwa bercakap dengan seseorang - dikatakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob - dan rakamannya tular hari ini.

Kata Idris nada suara orang yang sedang bercakap itu adalah kurang ajar.

"Tidak, tak betul tu. Kurang ajar tu. Suara tu kurang ajar bunyinya dengan YAB perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Rakaman berkenaan disebarkan daripada individu yang tidak dikenali ke beberapa organisasi berita petang ini. Ekoran itu Malaysiakini cuba mendapatkan pengesahan daripada Idris.

Ketika ditanya sama ada Idris akan mengambil tindakan berhubung perkara itu, Adun Sungai Udang berkenaan berkata, dia sedang menyiasat masalah tersebut.

Kata Idris, ada pihak tertentu yang berniat jahat kepadanya.

Rakaman tersebut membabitkan dua lelaki yang bercakap mengenai Sulaiman Md Ali - yang dijatuhkan Idris dan tiga Adun lain baru-baru ini - yang didakwa tunduk kepada Speker Dewan Undangan Negeri Melaka Ab Rauf Yusoh.

Untuk rekod Ab Rauf ialah pengerusi Umno Melaka.

Pengadu itu mendakwa kerajaan Melaka sekarang mengamalkan dasar diskriminasi terhadap orang bukan Melayu di negeri berkenaan.

Seorang lagi lelaki terbabit kedengaran memberi perhatian kepada aduan tersebut namun pada masa sama cuba meyakinkan individu terbabit agar memikirkan semula keinginannya mahu menarik balik sokongan kepada kerajaan Melaka.

Dia juga tidak berminat untuk melibatkan DAP dalam kerajaan Melaka, bahkan mendakwa dia juga menolak untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan parti terbabit di peringkat persekutuan.

Mereka juga mendakwa Ab Rauf kononnya membincangkan krisis Melaka hanya dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan mengabaikan Ismail Sabri selaku perdana menteri.

Pengadu juga menyesal tidak ada pemimpin kanan Umno lain termasuk Ahmad Zahid yang menghubunginya bagi mendapatkan maklumat berhubung apa yang berlaku di Melaka.

Idris bukanlah orang baru dalam politik. Selain menganggotai Majlis Tertinggi Umno selama bertahun-tahun, dia juga menjadi ketua menteri Melaka dari 2013 hingga 2018.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS