Deepak Jaikishan mengemukakan dua tuntutan undang-undang yang menuntut RM150 juta daripada dua pengarah syarikat atas tuduhan peranan mereka dalam konspirasi yang menurutnya penipuan melibatkan tiga bidang tanah berhampiran Bukit Raja.
Ahli perniagaan permaidani itu, melalui firma undang-undang Tetuan Vignesh Kumar & Associates, mengajukan dua saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 September.
Dua pengarah Suntrack Development Sdn Bhd, iaitu Tan Yook Peng dan Tan Kok Kiat, tersenarai sebagai defendan (satu saman terhadap Yook Peng, dan satu lagi terhadap Kok Kiat).
Sebelum ini pada akhir tahun 2018, Deepak juga telah mengajukan tuntutan mahkamah sebanyak RM676 juta terhadap bekas perdana menteri Najib Abdul Razak, isterinya Rosmah Mansor dan dua syarikat (Boustead Holdings Bhd dan anak syarikatnya Bakti Wira Sdn Bhd) kerana didakwa melakukan konspirasi dan memberi pengaruh yang tidak wajar kepadanya berhubung tiga bidang tanah.
Namun, pada bulan Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengizinkan permohonan oleh Najib, Rosmah, dan kedua-dua syarikat tersebut untuk membatalkan tuntutan Deepak.
Pada 8 Oktober, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Deepan untuk mengekalkan saman terhadap pasangan Najib, Rosmah dan kedua-dua syarikat tersebut. Deepak kini membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
Tanah seluas 180 hektar itu dikatakan sebagai tempat Pusat Kajian Strategi dan Pertahanan Nasional yang sepatutnya dibina di sana pada tahun 2007. Najib ketika itu adalah menteri pertahanan.
Menurut salinan dua saman terbaru yang dilihat oleh Malaysiakini, Deepak mendakwa bahawa Yook Peng dan Kok Kiat bersekongkol dengan Najib, Rosmah, Boustead dan Bakti Wira untuk "meneruskan tort konspirasi (tort of conspiracy) dan/atau konspirasi untuk memfrod (conspiracy to defraud) dan/atau tort
konversi (tort of conversion) dan/atau pengaruh tidak wajar (under influence)."
Deepak berpendapat bahawa kedua-dua defendan adalah "minda" (controlling mind) Suntrack Development yang memegang tanah itu sebagai pemegang amanah kepada Astacanggih Sdn Bhd, sebuah syarikat milik plaintif.
Plaintif mendakwa bahawa kedua-dua defendan, melalui Suntrack Development, telah secara salah merampas haknya atas tanah yang telah diambil alih oleh Astacanggih melalui Perjanjian Pemerolehan.