Jualan tiket bas ekspres bagi perjalanan dari Lembah Klang ke Kelantan meningkat lebih 15 peratus susulan pengumuman Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, yang membenarkan aktiviti merentas negeri bermula hari ini, bagi individu yang lengkap vaksinasi.
Pengusaha bas ekspres Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara) Che Ibrahim Che Ismail berkata, rakyat Kelantan yang tinggal di Lembah Klang mula membeli tiket untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Katanya, sejak semalam dan hari ini peningkatan pembelian tiket melebihi 15 peratus dan dijangka meningkat dalam masa beberapa hari.
"Alhamdulillah, pengumuman itu melegakan kami sebagai pengusaha bas kerana lebih setahun tidak dapat beroperasi seperti biasa dan menyebabkan pendapatan terjejas teruk.
"Perkara ini juga memberi peluang kepada pemandu bas yang sebelum ini terpaksa bergilir-gilir berikutan kurang trip ke semua destinasi.
"Jika sebelum ini, hanya 20 pemandu sahaja yang bekerja pada satu-satu masa dan hari ini saya memanggil kira-kira 100 lebih pemandu daripada 200 lebih untuk kembali bekerja. Walaupun bukan sepenuhnya lagi, namun saya bersyukur," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.
Susulan perkembangan itu juga Che Ibrahim berkata, pihaknya juga hanya memanggil pemandu yang sudah lengkap dos vaksin untuk bertugas.
Jelasnya, 90 peratus pemandu bas ekspres E-Mutiara lengkap divaksinasi dan hanya tinggal 10 peratus sahaja lagi yang belum lengkap sepenuhnya.
"Saya berharap dalam beberapa hari ini, akan lebih ramai penumpang dan dapat beroperasi sepenuhnya termasuk memanggil semua pemandu untuk bekerja.
"Bagi membendung penularan wabak Covid-19, pemandu kami sentiasa mengingatkan penumpang agar patuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan," katanya yang turut berharap kebebasan rentas negeri kali ini akan berterusan.