Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Vaksin: Teknologi yang terfitnah di saat genting

Saya bukanlah seorang yang fanatik terhadap vaksin. Kita ambil vaksin bukan kerana suka-suka, apatah lagi kerana politik atau dipaksa. Kita ambil kerana vaksin adalah antara usaha (bahasa Arab dipanggil ikhtiar) manusia menggunakan ilmu sains untuk melawan kemudaratan yang lebih besar khususnya wabak Covid-19.

Sebelum saya memasuki kursus ijazah perubatan bawah tajaan Mara (Majlis Amanah Rakyat), saya merangkak dahulu sebagai pelajar diploma dalam jurusan mikrobiologi (orang gelar kaji kuman) di UiTM Shah Alam selama tiga tahun. Ya, saya seorang yang boleh dianggap sebagai "slow learner", tiada apa yang hendak dimalukan mengenai itu, yang penting adalah terus belajar dan tidak berputus asa. Belajar hingga akhir hayat. Itu juga prinsip yang diajar dalam bidang perubatan.

Dalam kursus diploma mikrobiologi lagi kami didedahkan dengan konsep asas vaksinasi, genetik, perihal virus, hingga kepada teknologi terkini dalam hal pengklonan melibatkan bakteria. Saya antara beberapa pelajar yang terpilih dari "batch" diploma saya untuk melengkapkan projek akhir kursus kami di bawah kelolaan Prof Madya Dr Mohamed Saifulaman, pengarah Institut Bioteknologi UiTM (IBU) yang kini dikenali sebagai Institut Bioteknologi Perubatan Molekul UiTM.

Boleh dikatakan majoriti tenaga pengajar dan pakar-pakar dalam bidang membabitkan bioteknologi dan perubatan di UiTM adalah bumiputera serta muslim. Dan seperti mana-mana bidang berasaskan sains, kami diajar berfikiran kritis dan rasional sepertimana mentaliti para saintis Muslim di zaman keemasan Islam ketika kerajaan Abbasiyah (Iraq) dahulu yang banyak memberi sumbangan terhadap dunia sains dan teknologi khususnya perubatan serta kimia.

Apa yang saya ingin berkongsi di sini ialah bukan sekadar kisah latar belakang akademik saya, tetapi perjalanan hidup saya dan rakan-rakan lain dalam bidang sains hayat ini untuk memahami ilmu yang kompleks tetapi ada manfaat untuk tamadun manusia. Langkah pertama untuk memahami ialah perlu wujud perasaan ingin tahu secara analitikal (berasaskan bukti dan kajian fakta), bukan berdasarkan paranoia atau tahyul.

Ya, vaksin itu untuk bukanlah penawar yang muktamad, jauh lagi ia sempurna. Tapi itulah antara senjata dari akal manusia yang dikurniakan Tuhan untuk bantu mempertahankan diri kita dari sesuatu yang mengancam nyawa. Ia juga tuntutan dari ajaran Islam yang sebenar. Ilmu ini bukan lagi rahsia, bukan hanya untuk diajar kepada golongan elit, tetapi bahan penerangan ilmiah boleh didapati dari sumber-sumber bertauliah dengan mudah di Internet.

Persulit ‘kemaraan’ virus

Namun dunia media sosial tanpa sempadan sedikit sebanyak memberi persepsi negatif terhadap vaksin apabila maklumat salah, fitnah, berita kejadian terasing dan teori konspirasi dijadikan tajuk utama sesetengah pihak yang mencari alasan mudah untuk tidak memahami kenapa vaksin ini perlu di saat genting hari ini. Ya, virus Covid itu akan terus bermutasi melawan vaksin tetapi sekurang-kurang manusia ada peluang untuk mempersulit "kemaraannya".

Vaksin, sepertimana ubat-ubatan, ada kekurangannya jika disalahguna, disalah hasil atau disalah simpan. Oleh kerana itu syarikat-syarikat yang digelar "Big Pharma" ini terus mengkaji kesan jangka panjang supaya vaksin yang mereka hasilkan itu terus ditambahbaik dari masa ke semasa. Seperti juga teknologi lain seperti industri penerbangan, risiko untuk terhempas tetap ada tetapi manusia terus mempercayainya kerana ia membawa lebih manfaat dari mudarat.

Ramai yang salah faham di luar sana kononnya vaksin-vaksin Covid-19 ini dikeluarkan secara tergesa-gesa dan masih belum selamat. Bagi mereka yang belajar bidang farmakologi (kaji ubat) dan yang berada dalam industri farmasi atau bioteknologi, mereka sedar bahawa untuk menghasilkan, apatah lagi meluluskan pengedaran vaksin ini bukanlah semudah menjual makanan. Beberapa badan kawalan professional termasuk agensi kerajaan yang bertanggungjawab perlu dilepasi sebelum vaksin itu diterima masyarakat.

Dan oleh kerana virus itu mudah bermutasi (antara ciri virus bahaya yang diciptakan Tuhan), maka teknologi vaksin pun perlu mengejar perubahan itu agar populasi manusia terus dilindungi. Maka vaksinasi juga perlu dikemas kini dengan suntikan susulan mengikut waktu yang sesuai. Ada sebabnya saya seru agar kerajaan mengadakan sesi bengkel asas kesihatan kepada semua bakal lepasan sekolah di negara ini agar generasi akan datang tidak jahil sains dan tidak mudah terhasut dengan fikiran yang karut mengenainya.


DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN (MBBS) ialah ahli pemegang Amanah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS