Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
WAWANCARA | Kamarazaman bukan orang yang melihat fesyen dalam hidup

WAWANCARA | Pakaian Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media mengenai perintah kawalan pergerakan semasa menjadi menteri pertahanan mencuri tumpuan ramai.

Corak baju yang dipakai Ahli Parlimen Bera itu menjadi buah mulut warganet yang meninggalkan pelbagai reaksi di ruang komen siaran langsung sidang media hariannya pada masa itu.

Antara lain, ada yang menyamakan dan menyunting gambar baju batik yang dipakai pemimpin berusia 60 tahun itu dengan pelbagai jenis hidangan makanan.

Namun, keletah warganet itu langsung tidak menimbulkan rasa tidak senang padanya.

Sebaliknya, ia disambut baik oleh Ismail Sabri dan menganggap reaksi orang ramai mengenai pakaian dan penampilannya di televisyen setiap hari jam 2 petang itu sebagai sesuatu yang positif.

Menurut Ismail, tidak salah jika dia mengambil peluang ini untuk mempromosikan batik Malaysia, antara tema yang sering digayakannya. Malah, penampilannya itu turut mendapat perhatian pengusaha batik dari Terengganu.

Dalam temu bual abang kepada Ismail Sabri, Kamarazaman Yaakob, baru-baru ini, wartawan Malaysiakini sempat menanyakan perkara itu.

Selain itu, presiden penaja kepada Parti Kuasa Rakyat, sebuah parti baru yang ditubuhkan itu juga ditanya sejauh mana bakat menyanyinya jika mahu dibandingkan dengan anak buahnya, Gadaffi Ismail Sabri, atau dikenali dengan nama Dafi melalui program Akademi Fantasia.

Berikut merupakan temu bual itu


Adakah anda suka pilihan baju berwarna yang dipakai Ismail Sabri?

Saya bukan orang yang melihat fesyen dalam hidup, jadi saya baca dan melihat orang ramai gemar melihat dia (Ismail Sabri) berpakaian batik.

Ya, bagus. Ia suatu yang baik untuk pengusaha batik dan kalau rakyat boleh menerima dia dengan berpakaian sebegitu hingga memberi keyakinan dan sokongan maka saya rasa rakyat perlu memindahkan kesukaan, kegemaran, keyakinan terhadapnya kepada apa yang dia lakukan sekarang.

Saya rasa rakyat perlu buat begitu. Janganlah dulu suka kepada dia kerana dia berbatik dan sekarang dia tak berbatik maka kesukaan kepada dia itu dipindahkan kepada tidak suka.

Saya rasa, kalau watak dia masih begitu, sekarang pun dia masih sama. Kerana dia ada satu agenda yang sangat besar untuk rakyat miskin, dan itu saya pasti.

Pemikiran dia dengan pemikiran saya adalah sama kerana kami lahir daripada anak penoreh getah dan atas dasar Tun Abdul Razak Hussein, kami berjaya dalam hidup.

Jadi, saya yakin dia dengan saya tidak berbeza.

Apa pandangan anda tentang perbezaan imej yang ditonjolkan oleh tiga pemimpin ini, Ismail Sabri, Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohammad melalui pemakaian mereka?

Pakaian itu salah satu cerminan. Ya, saya terima tapi saya pun tak tahu ia mahal atau tidak. Saya pun tak tahu dia berpakaian sedemikan bagi tujuan promosi hasil karya menantu dia (Jovian Mandagie, merupakan seorang usahawan dan pereka fesyen ternama di Malaysia) pun, saya tak tahu.

Saya juga rasa pakaian itu bukan penting sebab seseorang boleh pakai jubah, pakai ketayap untuk melambangkan agama tapi kita tak nak hasilnya yang kotor, yang tak senonoh. Pakaian adalah fesyen tetapi apa yang penting adalah hati nurani, perjuangan, apa yang dia lakukan pada rakyat itu lebih penting. Itu bagi saya.

Begitu juga bila saya melihat orang lain, saya tidak melihat baju dan pakaian mereka tetapi saya melihat jiwa dan nuraninya dan kemanusiaan yang ada, itu lebih penting pada rakyat daripada melihat pakaian.

Jadi, saya rasa jangan kita melihat pakaian itu penting dalam hidup ini kerana perompak dan penyamun boleh menyamar dengan memakai kopiah dan serban tapi di dalam serban itu ada senjata untuk merompak.

Adakah anda penyanyi yang baik seperti Gadaffi atau lebih mesra disapa dengan nama Dafi?

Saya suka kepada muzik, seperti keroncong dan lagu-lagu balada tapi saya seorang penyair.

Saya pernah berpuisi bersama Usman Awang, Adibah Radzi dan saya menulis puisi. Saya juga menulis buku dan novel serta buku politik.

Buku pertama saya adalah pada tahun 1988 sewaktu orang memuja Dr Mahathir Mohammad sebagai dewa penyelamat negara, saya dah tulis buku bertajuk "Mahathir Menuju Diktator".

Saya 20 tahun lebih awal daripada Mohamad Sabu melihat Mahathir sebagai diktator kerana saya melihat ciri ciri kediktatoran itu ada pada Mahathir pada masa itu.

Jadi, saya bukan penyanyi yang baik, tapi saya minat lagu Ahmad Jais, Hetty Koes Endang , S Jibeng, Ramli Sarip dan penyanyi lagu Gadis Melayu, Othman Hamzah. 

Saya menyanyi masa dalam tahanan dulu, saya menyanyi dalam jamban. Anwar Ibrahim pun menyanyi untuk sendiri.

Tapi Ismail Sabri boleh menyanyi dengan baik dan suara dia lebih baik dari Dafi sebenarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS