Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
64 kematian akibat Covid-19, terendah dalam tempoh 98 hari
Diterbitkan:  Oct 11, 2021 8:12 AM
Dikemaskini: 12:12 AM

Kementerian Kesihatan melalui laman web Github melaporkan sejumlah 64 kematian akibat Covid-19 semalam (10 Okt), menjadikan jumlah kematian terkumpul adalah seramai 27,329 orang.

Ini adalah jumlah kematian yang dilaporkan paling rendah dalam tempoh 98 hari. Pada 4 Julai, jumlah kematian yang dilaporkan adalah sebanyak 63 kes.

Daripada jumlah kematian yang baru dilaporkan semalam, 14 orang atau bersamaan 21.9 peratus meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di hospital.

Kelantan mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu 14 kes atau 21.9 peratus daripada kematian yang baru dilaporkan.

Kes kematian selebihnya adalah di Selangor (11), Johor (9), Perak (7), Sabah (7), Kedah (5), Sarawak (3), Terengganu (3), Pahang (2), Melaka (1), Perlis (1) dan Pulau Pinang (1).

Tidak ada kematian baru dilaporkan di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 58 daripada 64 kematian yang dilaporkan atau 90.6 peratus berlaku dalam tujuh hari lalu.

Kes kematian selebihnya berlaku lebih daripada seminggu yang lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 250 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding dengan purata tujuh hari sebanyak 92 kes, yang menunjukkan aliran menurun.

Sehingga kini, 1,121 kematian Covid-19 telah dilaporkan pada bulan ini.

Sehingga semalam, terdapat 116,596 kes Covid-19 yang masih aktif. Ini adalah pengurangan 22.4 peratus daripada 150,318 kes jangkitan aktif seminggu yang lalu.

Berbanding dengan 30 hari yang lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 51.9 peratus daripada 242,165 kes.

Kemas kini yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan selepas tengah malam tadi turut memperincikan lebih lanjut mengenai jangkitan Covid-19 baru semalam.

Daripada 7,373 kes baru semalam, sejumlah 334 daripadanya dikesan daripada kluster Covid-19 yang ada.

Daripada kes berkaitan kluster ini, 142 (42.5 peratus) adalah kluster komuniti manakala 125 (37.4 peratus) merupakan kluster tempat kerja.

Sebanyak 48 kes lagi (14.4 peratus) adalah dari kluster yang berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi seperti rumah orang tua.

Kes-kes selebihnya dikesan daripada kluster berkaitan dengan institusi pendidikan (15 - 4.5 peratus), pusat tahanan (3 - 0.9 peratus) dan upacara keagamaan (1 - 0.3 peratus).

Sebelum ini Kementerian Kesihatan mengeluarkan statistik kematian bersama dengan jumlah kes Covid-19 baru pada sebelah petang. Bagaimanapun kaedah ini telah diubah.

Statistik kematian kini dikeluarkan selepas tengah malam bersama dengan data lain yang lebih terperinci. Malaysiakini melaporkannya pada sebelah pagi keesokannya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS