Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ: Jangan obses dengan angka kes harian Covid-19, indikator lain perlu diambil kira
Diterbitkan:  Oct 10, 2021 9:20 PM
Dikemaskini: 1:22 PM

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berharap orang ramai tidak obses dengan kes harian kes Covid-19 kerana petunjuk lain juga harus diambil kira untuk mendapatkan gambaran yang tepat.

Kenyataan Khairy itu hadir ketika Kementerian Kesihatan tidak lagi memberikan perincian kes harian berdasarkan negeri pada sebelah petang seperti sebelum ini. Hanya kes keseluruhan yang dinyatakan.

Sebaliknya, perincian kini diterbitkan pada tengah malam di CovidNow, portal penjejakan Covid-19 kerajaan.

"Kita ada beberapa negara yang sudah nyatakan bahawa dalam tempoh masa akan datang mereka tidak akan lagi melaporkan kes harian.

"Kita masih lagi ikut saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang meyarankan agar kes harian dilaporkan. Cuma sekarang ini kita tidak menumpu kepada angka tersebut tiap-tiap hari.

"Saya telah minta (Ketua Pengarah Kesihatan) Noor Hisham Abdullah agar kita simpulkan angka itu sekali dengan indikator yang lain pada pukul 12 malam supaya rakyat tidak obses dengan angka tersebut," katanya.

Bagaimanapun, tambah Khairy, ini tidak bermakna dia mengambil mudah atau tidak kisah tentang jumlah kes harian.

"Cuma ia perlu dibaca dengan angka-angka lain seperti kemasukan hospital, kematian, kemasukan ke ICU dan sebagainya.

"Itu memberi kita di KKM gambaran yang lebih tepat berkenaan dengan kedudukan pendemik ini," katanya dalam wawancara televisyen.

Dalam wawancara itu, Khairy juga meminta orang ramai melakukan ujian kendiri sebelum kembali ke kampung halaman.

Saranan itu hadir selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri bagi individu yang sudah lengkap vaksinasi.

Kebenaran rentas negeri itu diberikan kerana 90 peratus populasi dewasa kini sudah lengkap vaksinasi. Peratusan itu berdasarkan banci penduduk tahun 2010. Banci terbaru, yang dijadualkan pada tahun 2020, tidak lengkap kerana wabak tersebut.

Khairy memberi amaran bahawa warga emas dengan penyakit kronik lebih terdedah kepada Covid-19.

Oleh yang demikian, katanya mereka yang pulang kampung harus membuat ujian kendiri atas rasa tanggungjawab walaupun ia tidak diwajibkan kerajaan.

Dia menambah bahawa polis akan melakukan pemeriksaan rawak untuk memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Namun, katanya polis tidak akan membuat sekatan jalan di setiap sempadan negeri kerana ia tidak praktikal dan akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS