Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khaled: PH perlu bersikap telus isu Pulau Batu Puteh
Diterbitkan:  Oct 10, 2021 4:17 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Pakatan Harapan (PH) perlu bersikap telus dan menjelaskan keputusan tidak meneruskan semakan kehakiman Pulau Batu Puteh semasa pentadbiran gabungan itu selama 22 bulan sebelum ini, kata Naib Presiden Umno Khaled Nordin.

Menurut Khaled, rakyat wajar tahu sama ada terdapat elemen kecuaian dan membelakangkan kepentingan nasional berhubung keputusan tersebut.

“Kenapa kerajaan PH (ketika itu) memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding semakan di ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) tidak pernah dijelaskan.

“Keputusan sepenting itu sewajarnya diterangkan di Parlimen secara telus dan bertanggungjawab.

“Dengan menubuhkan pasukan petugas khas kes Pulau Batu Puteh ini, amat penting untuk pasukan ini menjelaskan dalam laporannya nanti perkara sebenar yang menyebabkan Kerajaan menarik balik semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Putih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengucapkan tahniah terhadap keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menubuhkan pasukan khas untuk mengkaji pilihan sesuai berhubung pulau tersebut, bekas menteri besar Johor itu membandingkan langkah yang diambil sewaktu pentadbiran Ismail Sabri dan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh.

Pulau berbatu itu dengan ukuran tidak lebih separuh padang bola - dikenali sebagai Pulau Batu Puteh di Malaysia dan Pedra Branca di Singapura. Ia terletak kira-kira 15km dari pantai selatan Semenanjung Malaysia.

Malaysia dan Singapura terlibat dalam pertikaian undang-undang sejak 1979 ketika Malaysia mengeluarkan peta yang menunjukkan Pulau Batu Puteh berada di perairan wilayah Malaysia.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa bagaimanapun pada 2008 memihak kepada Singapura dalam pertikaian pulau tersebut.

Pada akhir Mei 2018, selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14, kerajaan PH pimpinan Mahathir ketika itu menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ, yang juga merupakan mahkamah tertinggi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kerajaan Singapura dilaporkan ‘gembira’ apabila Malaysia telah memberitahu ICJ pada 28 Mei tahun itu pihaknya akan menarik balik permohonan semakan itu.

Mengulas lanjut, Khaled berkata selepas Mahathir dilantik sebagai perdana menteri pada Mei 2018, kerajaan PH telah memutuskan untuk tidak meneruskan semakan keputusan tersebut.

“Bangsa lain bermatian untuk mempertahankan walau seinci tanah air mereka. Kerajaan PH melepaskan segala usaha mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Puteh tanpa sebarang penelitian dan pertanggungjawaban.

“Tindakan mereka adalah ‘the neglect of duty of the highest order’. Mereka harus dipertanggungjawabkan jika mereka, cuai, culas dan membelakangkan kepentingan nasional,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS