Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: 7,373 kes baru hari ini, terendah sejak 7 Julai
Diterbitkan:  Oct 10, 2021 2:44 PM
Dikemaskini: Oct 11, 2021 9:24 AM

Jumlah kes baru Covid-19 yang direkodkan hari ini menunjukkan penurunan menjadi 7,373 sekali gus mencatatkan kadar paling rendah sejak 7 Julai lalu.

Pada hari berkenaan sebanyak 7,097 jangkitan direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah KKM Noor Hisham Abdullah berkata dengan kadar terbaru hari ini, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini menjadi 2,339,594 kes.

Bagaimanapun setakat ini tiada pecahan mengikut negeri dikeluarkan.

Terdahulu KKM melaporkan sejumlah 74 kematian Covid-19 direkodkan semalam (9 Okt), menjadikan jumlah kumulatif korban pandemik berkenaan menjadi 27,265 orang.

Ini adalah jumlah kematian paling rendah dalam tempoh 97 hari. Pada 2 Julai, sebanyak 73 kematian dicatatkan.

Noor Hisham juga mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah terhadap ancaman wabak berkenaan walaupun jumlah jangkitan dan korban Covid-19 semakin turun.

"Walaupun kadar vaksinasi orang dewasa kita hampir 90 peratus, ini bukan alasan untuk kita menganbil mudah terhadap prosedur operasi standard Covid-19.

"Kita mesti terus mematuhi semua langkah berjaga-jaga termasuk ujian kendiri. Harap selalu waspada setiap saat," katanya.

Jangkitan baru hari ini merangkumi 6,992 rakyat Malaysia (94.8 peratus) dan 381 bukan warganegara (5.2 peratus).

Jumlah pesakit pulih (10,959) mengatasi kes baru, yang dijangka akan mengurangkan kes aktif.

Pesakit di ICU: 762 (702 disahkan; 60 disyaki)

Memerlukan bantuan pernafasan: 410 (293 disahkan; 117 kemungkinan)

Sehingga hari ini, jumlah pesakit Covid-19 (termasuk yang disyaki) di unit rawatan rapi (ICU) adalah 11.4 peratus lebih rendah berbanding seminggu yang lalu.

Pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan juga menurun sebanyak 14.2 peratus berbanding seminggu yang lalu.

Kluster

Sehingga kini, 810 kluster Covid-19 masih aktif, termasuk lapan kluster baru yang dilaporkan hari ini.

Kluster aktif telah menurun sebanyak 19.6 peratus daripada 1,008 seminggu yang lalu.

Lapan kluster baru hari ini terdiri daripada lima kluster komuniti (62.5 peratus), satu kluster tempat kerja (12.5 peratus), satu kluster kumpulan berisiko tinggi (12.5 peratus) dan satu kluster acara keagamaan (12.5 peratus).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS