Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mansuh hukuman mati: Suhakam gesa k’jaan keluarkan laporan kajian
Diterbitkan:  Oct 10, 2021 12:14 PM
Dikemaskini: 4:15 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan mengeluarkan laporan dan syor-syor Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori yang telah lengkap sebelum ini.

Suruhanjaya itu berkata ia bagi membolehkan penggubal undang-undang melakukan apa yang perlu bagi menyegerakan usaha pemansuhan hukuman mati di negara ini.

“Melihat kepada kepentingan dan tindakan segera yang diperlukan terhadap isu ini, Suhakam menggesa kerajaan untuk mengeluarkan laporan dan syor-syor jawatankuasa khas tersebut.

“Suhakam berpandangan bahawa syor-syor dan langkah-langkah peralihan untuk banduan akhir perlu didedahkan kepada umum agar ia boleh membenarkan penggubal undang-undang, pembuat dasar dan masyarakat untuk melakukan perkara yang perlu bagi menyegerakan pemansuhan hukuman mati di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Suhakam, kajian laporan tersebut telah lengkap dan telah dikemukakan kepada kerajaan di bawah Pakatan Harapan sebelum ini.

Selain itu, Suhakam turut menyokong inisiatif kerajaan pada tahun 2020 dalam menubuhkan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-undang bagi mengkaji undang-undang sedia ada termasuk prosedur menjatuhkan hukuman dan sekiranya didapati ia lapuk atau ketinggalan zaman, untuk mengesyorkan pindaan atau pemansuhan undang-undang tertentu supaya selari dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Gesaan itu dibuat sempena Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia pada setiap 10 Oktober.


Baca: Mansuh hukuman mati: Ambil iktibar serangan di NZ, kata Musa


Suhakam berkata pihaknya akan terus memperjuangkan pemansuhan hukuman mati melalui pelbagai sesi libat urus dan program bersama pihak berkepentingan.

“Suhakam menyokong agar moratorium hukuman mati yang telah diperkenalkan sejak 2018 diteruskan dan memberi galakan kepada kerajaan untuk memulakan proses bagi melaksanakan iltizamnya untuk memansuhkan hukuman mati secara mandatori seperti yang telah diumumkan pada 2019, yang merupakan satu langkah positif ke arah pemansuhan sepenuhnya hukuman mati di Malaysia,” katanya.

Pada Disember 2018, menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong sewaktu kerajaan PH mengumumkan Rang Undang-Undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang berikutnya.

Bagaimanapun, selepas kerajaan PH tumbang dan digantikan oleh Perikatan Nasional, Takiyuddin Hassan yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu berkata RUU pemansuhan hukuman mati itu perlu diteliti secara terperinci oleh kerajaan sebelum sebarang keputusan dibuat. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS