Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pasukan petugas khas siasat Tommy Thomas mesti bebas, tiada pengaruh AGC'
Diterbitkan:  Oct 10, 2021 11:34 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata pasukan petugas khas yang akan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan bekas peguam negara (AG), Tommy Thomas mestilah bebas dan tiada sebarang pengaruh daripada Jabatan Peguam negara (AGC).

"Pasukan petugas khas ini mestilah bebas total dan tidak ada pengaruh pejabat Peguam Negara. 

"Tidak sesuai bekas AG disiasat oleh AGC," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas sebelum sebarang tindakan diambil terhadap dakwaan bekas peguam negara itu di dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness

Menurut Ismail, pasukan petugas ini akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urusetia.

Pasukan petugas khas ini antara lain bertujuan menyiasat dakwaan Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.

'Sepatutnya RCI, bukan pasukan petugas khas'

Mohd Puad berkata dalam pertemuan dengan Umno Johor dua minggu lalu, Ismail menyebut mengenai penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat perkara itu.

"Tetapi semalam, kabinet hanya setuju tubuh pasukan petugas khas menyiasat dakwaan Tommy Thomas.

"Oleh kerana isu Tommy Thomas adalah isu besar yang libatkan kepentingan negara dan integriti maka sepatutnya penubuhan RCI lebih mendesak.

"RCI ada asas perundangan. Ia ditubuh berdasarkan statut. Pasukan Petugas Khas pula tidak ada kuasa perundangan untuk panggil saksi, rakam percakapan atau untuk dapatkan dokumen berkaitan," katanya.

Bagaimanapun seperti disebut Ismail, Puad berharap pasukan petugas khas ini hanya ditubuhkan bagi membuat kajian awal sebelum tindakan seterusnya diambil terhadap bekas AG itu.

"Justeru dicadangkan, matlamat pasukan petugas khas ini mestilah ke arah penubuhan RCI Tommy Thomas.

"Beri tempoh hanya satu bulan kepada pasukan petugas khas ini membuat kajian awal. Tempoh enam bulan adalah terlalu lama, sedangkan ramai pihak terkesan dengan isu ini," katanya.

Sebelum ini, pemimpin Umno mendesak sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat kes-kes pendakwaan yang digugurkan oleh Thomas semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Antaranya Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang berpendapat RCI itu dapat merungkai pendakwaan ke atas tokoh-tokoh Umno, serta dakwaan-dakwaan kontroversi di dalam autobiografi bekas peguam negara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS