Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
WAWANCARA | Kamarazaman - Bekas pemimpin mahasiswa, tahanan ISA, rakan sebilik Zahid

WAWANCARA | Umum mengetahui presiden penaja kepada Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yaakob, 72, sebagai abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Namun, mungkin ramai yang tidak maklum bahawa abang kepada perdana menteri kesembilan itu juga adalah seorang pengamat politik.

Pernah menjadi presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya 1970an, nama Kamarazaman tidak asing lagi di kalangan aktivis sezaman dengannya seperti Hishamuddin Rais yang juga bekas setiausaha agungnya dalam persatuan mahasiswa itu.

Kamarazaman juga pernah menjadi tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas memimpin demonstrasi memperjuangkan isu kemiskinan petani di Baling dan ditahan bersama ramai pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Antara pemimpin yang ditahan bersamanya ketika itu ialah Anwar Ibrahim selaku Presiden ABIM pada waktu itu, Presiden Putra Ibrahim Ali, ahli politik veteren PKR Syed Husin Ali, Adi Satria, Hamzah Kassim, CCYong, Yong Ah Chit, Yeo Ben Foo.

Sebagai aktivis di kampus, dia adalah penggerak utama kepada pelbagai demonstrasi mahasiswa atas isu-isu kemiskinan di Baling, Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) serta Perang Yom Kippur.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Kamarazaman berbicara tentang kisah hidupnya selepas dibebaskan daripada tahanan ISA.

Berikut adalah wawancara Malaysiakini dengan Kamarazaman.


Berapa lama anda ditahan di bawah ISA dan apa pengalaman anda sepanjang menjadi tahanan tanpa bicara itu?

Saya ditahan hampir dua tahun atas lima pertuduhan untuk penahanan saya yang tidak pernah dibicarakan di mahkamah.

Pertuduhan pertama, (kerana) saya memimpin mahasiswa Universiti Malaya (UM) berdemo di depan Kedutaan Amerika, Jalan Ampang dan berdemo di depan Lincoln Center dekat dengan Padang Merdeka kerana menentang campur tangan Amerika menyokong Israel dalam perang Ramadan atau Yom Kippur, di mana keganasan Israel terhadap Palestin. Itu tuduhan pertama saya ke penjara.

Tuduhan kedua saya, saya memimpin mahasiswa secara besar-besaran di UM berhubung isu Akta Universiti Kolej Universiti 1991 dengan mengepung (bekas menteri Umno) Aisyah Ghani.

Yang ketiga, pertuduhan saya adalah saya memimpin demonstrasi pelajar berhubung Tasik Utara dan rampasan kuasa UM pada 2 September 1974.

Tuduhan keempat, memimpin pelajar berdemonstrasi isu Baling di Padang Merdeka yang dihadiri lebih 5,000 orang.

Dan yang kelima, pertuduhan saya memimpin pelajar dan penduduk setinggan Kampung Kerinchi merusuh di Lebuhraya Pesekutuan kesan daripada penangkapan demonstrasi Baling.

Bagaimana kerjaya anda sejak pembebasan anda?

Bila saya di kem tahanan kami berbincang bagaimana hendak meneruskan idealisme kami di kampus dulu. Jadi, akhirnya jalan terbaik adalah membantu anak-anak yang tercicir daripada keluarga miskin ini agar dapat menyambung pelajaran iaitu dengan membuka sekolah swasta.

Saya membuka sekolah Jaya Akademi, sepatutnya Akademi Jaya tapi saya sengaja terbalikkan untuk attract (menarik perhatian) orang akan kesalahan (perkataan) itu.

Ibrahim Ali membuka Politeknik Kuala Lumpur, manakala Anwar Ibrahim Yayasan Anda Akademik, sekolah Abim.

Antara murid second bacth (kumpulan kedua) saya ialah Ismail Sabri Yaakob, itu murid saya. Saya mengajar dia Sejarah, Pengajian Am sehingga dia layak masuk universiti.

Jadi, sekolah saya ketika kemuncaknya, saya ada lebih 1,000 murid dan boleh kata yang terbesarlah dalam sekolah swasta Melayu dan setiap tahun saya bagi 40 biasiswa kepada pelajar dari keluarga miskin yang betul-betul tak mampu. Pada masa itu saya buka sekolah bersama kawan-kawan progresif di kampus dulu, bukan fikir soal duit sangat.

Sebab itulah yuran tingkatan tiga RM 5, tingkatan empat RM26 dan tingkatan enam RM33. Cukup sekadar untuk meneruskan agenda perjuangan rakyat sahaja.

Satu kelompok yang berfikiran yang sama dengan saya di kampus termasuklah Hassan Karim yang hari ini adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang (dari PKR).

Hassan Karim ini dekat dengan saya, sama-sama berjuang ketika di kampus. Jadi, bila saya bertanding Parti Gerakan Rakyat Malaysia pada tahun 1982, saya takut lesen sekolah saya ditarik kerana ramai yang begantung harap dengan rezeki di sekolah untuk menampung keluarga. Jadi saya serahkan urusan sekolah kepada Hassan dengan dia menjadi pengetua di sekolah saya.

Kemudian saya libatkan diri dalam parti sosialis sebab semasa tahun 1973 di universiti, saya sudah jadi anggota Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan saya teruskan pejuangan ini sehingga saya jadi calon tahun 1982 tetapi saya tewas dan saya juga meneruskan gerakan rakyat masa ini dan akhirnya saya jadi calon juga pada 1990 di Parlimen Temerloh P80 melawan Tan Sri Shabudin Chik atas tiket Semangat 46.

Itu kesinambungan perjuangan politik saya daripada politik kampus kepada politik nasional.

Ada yang mengatakan bahawa anda menulis mengenai penahanan anda untuk tesis (kajian ilmiah) anda. Adakah itu benar?

Ya, betul. Itu tesis master saya, tentang keseluruhan perjuangan pelajar UM tahun 1972 hingga 1974 dan saya juga menafsirkan pertembungan tiga idealogi yang berlaku di UM pada masa itu iaitu sosialisme, nasionalisme dan Islamik.

Pertama kali muncul di depan umum anda dikenali sebagai pemimpin pelajar pada tahun 1974. Sejauh mana anda dekat dengan individu bernama Anwar Ibrahim dan Hishamuddin Rais pada masa itu?

Anwar memimpin Persatuan Mahasiswa Melayu UM, saya dengan Hishamuddin Rais memimpin Persatuan Mahasiswa UM, yang induk, yang dipilih melalui pilihan raya. Menjadi ketua (persatuan) bahasa Melayu atau ketua persatuan Islam, ia dipilih dalam dewan melalui angkat tangan saja, berbeza dengan kami. Tetapi, kami dipilih oleh lebih 8,000 mahasiswa pada masa itu.

Dari segi hubungan saya dengan Anwar, saya masuk UM, Anwar sudah tiada di sana tetapi dia ada ABIM. Tetapi, saya bersama Hishamuddin sebagai setiausaha agung saya dan kami memang rapat sejak dulu lagi dan sehingga kini sebab garis perjuangan kami sama.

Jadi, perjuangan untuk rakyat marhean, perjuangan untuk membela orang yang ditindas dan ditikam oleh orang tengah, membela supaya mereka mendapat kesihatan yang sempurna dan mendapat pelajaran percuma ini adalah perjuangan saya dengan Hishamuddin dari dulu lagi.

Jadi, perjuangan itu berterusan dalam diri saya walaupun saya masuk beberapa parti politik pembangkang. Jadi, garis saya tidak lari. Cuma platform saja yang berbeza kerana platform itu menentukan sumbangan kita dalam parti tersebut.

Tetapi, pemikiran dan idealogi perjuangan saya tetap kekal seperti mana saya di zaman kampus dahulu dan saya rasa sekarang pun saya rasa diri saya masih seorang pelajar kampus dari segi semangat perjuangan saya terhadap rakyat miskin ini.

Walaupun sudah lebih 40 tahun saya tinggalkan universiti ini. Saya, masa di universiti dulu perjuangan saya jelas saya mendapat dokongan daripada mahasiswa kerana pejuangan kami jelas.

Perjuangan kami jelas dan nyata untuk kepentingan rakyat miskin, tertindas dan dirantai oleh segala permasalahan rakyat.

Pada masa itu, 74 peratus orang Melayu berada di bawah garis kemiskinan dan sebab itulah apabila saya mengajak mahasiswa berdemonstrasi atas nasib rakyat. Saya mendapat sokongan dan dukungan dan setiap demonstrasi saya lebih 2,000 pelajar menyertainya.

Kenapa? Kerana kemiskinan pada masa itu dekat dengan para pelajar UM.

Anda dikatakan mempunyai hubungan yang baik dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi? Bagaimana hubungan dengan Ahmad Zahid ketika ini?

Betul, Ahmad Zahid Hamidi ini merupakan rakan sebilik saya pada tahun 1973, 1974, sewaktu saya menjadi presiden mahasiswa UM.

Oleh kerana dia roommate (rakan sebilik) saya dan saya melihat dia ini seorang pelajar yang baik. Saya juga berbincang dengan setiausaha saya (Hishammuddin) bahawa kita perlu bina roommate saya ini.

Dia (Ahmad Zahid) yang berlatarbelakangkan sekolah agama dan bawa masuk dalam politik pelajar. Mula-mula saya bawa dia menduduki sidang pengarang surat khabar Mahasiswa Negara UM dan dia menulis rencana yang akhirnya dikenali sebagai editor.

Memang hubungan saya dengan dia rapat dan bukan sahaja sekadar rakan sebilik, kebetulan arwah isteri saya dengan isteri Zahid rapat. Jadi, saya dengan Zahid sampai sekarang rapat.

Dia dihadapkan di Mahkamah Shah Alam pun saya dua, tiga kali pergi. Sebab dia adalah sahabat saya. Walaupun dulu saya dalam parti pembangkang saya terus rapat dengan dia, sehingga hari ini pun saya masih rapat dengan dia.

Cuma, saya menegur dia dalam penulisan saya adalah untuk memberi kesedaran kepada dia jika dia ada melakukan kesilapan.

Sebab, sebagai seorang kawan yang sejati, saya harus menyatakan apa yang betul. Kalau dia salah, saya perlu menyatakan dia salah. Tapi, biasalah kalau orang yang ada kepentingan, yang salah pun dia kata betul.

Tapi saya sahabat sejati yang nak dia jadi pemimpin yang baik jadi saya tegur dan dia pun tidak ada masalah dengan saya sebab dia tahu saya tegur itu ikhlas, untuk beri kesedaran kepada dia bukan untuk mencacatkan diri dia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS