Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Entah apa persiapan yang dilakukan Hans Christian Andersen semasa dia menyiapkan karyanya, 'Kejserens nye klaeder' hampir 200 tahun silam. Entah dia sekadar bersuka-suka, atau ada yang terbuku di hatinya namun berbahaya untuk diluahkan, atau sebab lain.

Karya itu kemudian menjadi klasik dan relevan sepanjang masa. Kita pun mengenalinya sebagai kisah seorang maharaja berhidung tinggi dan perasan pandai.

Namun itu bukanlah puncak kebebalan sang maharaja. Kesalahan paling fatal buat penguasa itu ialah betapa dia mudah percaya dan hidup terawang-awang sebagai bangsawan.

Dengan kuasa dan harta yang begitu banyak sudah tentu hidup di alam kayangan adalah paling cocok untuk seorang maharaja. Namun, bagaimana untuk sesuatu objek - atau seseorang - kekal berada di atas?

Biasanya ia perlukan suatu daya yang menolak sekali gus menongkah tarikan graviti. Salah satu caranya ialah dengan menghantar kuasa angin yang berterusan. Antara alat yang boleh digunakan ialah kipas.

Di situlah maharaja yang sombong tetapi bebal itu berada.

Sebagai makhluk - dengan andaian maharaja itu hidup - sudah tentu dia mati. Namun amalan suka dikipas itu hidup sehingga kini. Ia malah seolah-olah akan kekal wujud sehinggalah kiamat tiba.

Dan di sesetengah tempat ia wujud dengan restu secara tersurat. Misalnya kecenderungan kita untuk menghargai atau menganugerahkan sesuatu kepada seseorang yang selalu membuat kita gembira.

Amalan bonus

Pernah berlaku suatu ketika dulu ada artis tertentu yang begitu tekal muncul di lapangan terbang setiap kali ada pembesar negara mahu ke luar negara, atau ketika pulang dari luar negara. Dia seolah-olah diciptakan untuk jadi tukang hantar dan tukang sambut pembesar.

Kehadiran itu kelihatan bukanlah secara spontan, tetapi seperti dipaksa-paksakan. Namun untuk berlaku adil, bukanlah artis itu saja yang begitu. Dia tentu tidak berani berbuat demikian jika bergerak secara solo.

Selain artis, ada ramai lagi individu yang sejenis dengannya meluangkan masa untuk menunjuk muka di depan pembesar. Mereka akan menegur, tersenyum dan - seboleh mungkin - bersalaman.

Anda silap jika menyangka ia akan berakhir di situ saja.

Selain bersalaman, amalan bonus untuk setiap kemunculan itu ialah mengucup tangan pemimpin berkenaan. Dan kucupan itu sebaik-baiknya dibuat dengan penuh penghayatan.

Apa yang berlaku sesudah itu?

Sekali dua, ia tidak memberi kesan yang ketara. Tetapi kerana kerajinan menunjuk muka, hasil awal daripadanya ialah mendapat gelaran. Kemudian, mungkin mendapat projek. Sesudah itu, citra yang kian mengembang.

Ia suatu kitaran yang tidak begitu kompleks. Anugerah kebesaran berkenaan mungkin bukan datang daripada pemimpin negara yang tangannya dijabat dan dikucup dengan penuh nafsu itu. Ada kemungkinan besar ia diberikan oleh pihak ketiga yang mempunyai pelbagai kepentingan.

Menahan lukah di pergentingan komisyen, misalnya.

Selepas berdekad-dekad amalan mengipas dan hidup terawang-awang ini nampaknya masih menebal. Kerana itu kebanyakan orang politik beriman dengan fahaman tersebut: Kipas selagi boleh. Jika mampu, galas penyaman udara sekali. Lebih afdal penyaman udara yang memiliki 'blower' sebesar mulut tempayan.

Kematian deria aib

Kerana itu amalan melantik orang tertentu yang diketahui kuat mengipas ke jawatan penting dalam kerajaan menghantar isyarat yang sesat lagi menyesatkan kepada orang ramai. Ia akan menjadi lebih bahaya jika dilihat dan difahami oleh anak-anak muda.

Setakat ini yang paling ketara beristiqamah mengipas pemimpin, ahli politik jugalah. Kipas paling bawah ialah menunjuk muka di tempat ketua datang. Tingkat yang lebih tinggi ialah mengiring ketua ke sana sini. Kedudukan istimewa pula mungkin dapat naik kenderaan yang sama dengan orang yang dikipas.

Maka kita pun membina acuan tersirat kepada orang ramai: bahawa hidup ini tidak akan bermakna apa-apa selagi kita tidak kuat mengipas pemimpin.

Dan seperti dinyatakan di atas, kadang-kadang amalan menghargai tukang kipas itu bukanlah datang daripada pemimpin negara, sebaliknya orang berkepentingan yang bergayut di sekeliling pinggang menteri atau perdana menteri.

Mereka akan mencari 'lobang' di mana saja untuk menambat hati orang politik. Sebabnya, dalam kepala mereka sudah ditanam - sejak bertahun-tahun - dengan keyakinan bahawa hidup sebagai pengampu adalah kunci untuk mendapat syurga di dunia.

Abaikanlah rasa meluat atau cemuhan orang lain, kerana mereka tidaklah mampu berbuat apa-apa kecuali membawang saja. Selain itu, jangan lupa bahawa kebanyakan orang politik ini sudah kematian deria aib masing-masing.

Di pihak orang yang dikipas pula, mereka boleh saja memberikan pelbagai alasan. Misalnya tidak tahu-menahu mengenai pelantikan yang tertentu. Atau memberikan kebebasan mutlak kepada pihak yang berkenaan menilai kelayakan seseorang yang rapat dengan mereka.

Dan pihak yang melantik, sudah tentu tidak ada masalah langsung untuk memberikan justifikasi atas habuan yang diberi. Melantik seseorang berdasarkan merit, misalnya.

Jika difikirkan dalam-dalam, memang nampak pelantikan seseorang yang diragui kemampuannya ke jawatan penting dan utama itu dibuat berdasarkan merit. Merit itu ialah, berapa tinggi kelajuan kipas yang boleh disiapkan pengampu itu untuk mengangkat orang politik ke awang-awangan.

Bijak juga Andersen tidak menamakan maharaja yang bebal itu. Dengan watak yang tidak ada nama khusus tersebut, mudahlah kita meletakkan nama sesiapa saja yang sesuai mengikut zaman semasa untuk menjadi watak penguasa yang kemaruk kepada pujian dan kipas pengampu itu.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS