Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Tiga, empat hari ini heboh kisah abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu menubuhkan parti baru dengan nama Parti Kuasa Rakyat.

Lebih heboh lagi apabila parti berbilang kaum dan mesra BN yang dinaungi oleh Kamarazaman Yaakob itu ditubuhkan selepas sebulan adiknya diangkat sebagai perdana menteri kesembilan.

Sudah pasti ramai yang beranggapan penubuhan parti baru itu ada hubung kaitnya dengan naib presiden Umno itu.

Namun, jelas Kamarazaman, Ismail yang juga ahli prlimen Bera itu langsung tidak pernah dimaklumkan mengenai hasrat abangnya itu.

Sebaliknya, menurut Kamarazaman ia hanya diketahui Ismail selepas berita tentang penubuhan Parti Kuasa Rakyat dipaparkan di media massa.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Kamarazaman yang juga presiden penaja Parti Kuasa Rakyat berbicara mengenai adiknya, Ismail termasuk mengenai hasrat untuk menubuhkan parti barunya itu.

Berikut wawancara Malaysiakini dengan Kamarazaman:

Apa pendirian Ismail mengenai keputusan anda untuk menubuhkan parti baru? Adakah Ismail Sabri berunding dengan anda mengenai politik sama sekali?

Dia tidak ada satu perkongsian yang nyata antara saya dengan dia (Ismail).

Ya, saya abang kepada Ismail dan Ismail adik kepada saya dan kami diajar oleh ibu bapa kami supaya abang mengasihi adik dan adik menghormati abang.

Jadi, kami adik beradik akrab dan menghormati pemikiran politik masing-masing dan sebab itulah dia dalam Umno dan saya dalam parti pembangkang sebelum ini. Tetapi, kita tetap menghormati pendirian politik masing-masing.

Dalam konteks ini, saya dengan dia ada persamaan dari segi citarasa, oleh kerana kami datang dari keluarga anak penoreh getah dan dia pun acap kali menyatakan dia anak penoreh getah, jadi jiwa raga, nurani dan kehidupan kita tidak boleh lari daripada asal usul kita datang.

Sebab itu kalau kita tengok rekod dia, di mana-mana kementerian yang dipimpinnya pasti dia akan menterjemahkan keinginan pada orang miskin dalam tindak tanduk kementerian dia.

Kamarazaman Yaakob.

Dan dalam konteks ini, saya ada persamaan dari segi citarasa perjuangan itu. Jadi, oleh kerana ada citarasa bersama saya menubuhkan Parti Kuasa Rakyat dan dia dalam Umno.

Oleh kerana perjuangan saya dengan dia ada persamaan, maka secara alamiahnya menuju ke arah yang samalah walaupun bukan ada satu perbincangan khusus tapi jalan atau garis mahu membela rakyat miskin.

Jadi, sudah tentulah parti saya nanti akan mendukung apa yang mahu dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Jadi, dia dalam parti Umno dan saya dengan gerombolan saya dalam Parti Kuasa Rakyat tapi matlamatnya adalah satu iaitu menyelesaikan permasalahan rakyat yang mungkin tiada peluang untuk bebaskan diri mereka dari masalah yang mencengkam atau mengikat mereka.

Jadi, parti ini bukanlah sebuah parti yang disusun bersama, tidak.

Ia secara kebetulan dan secara kebetulan juga parti ini lahir selepas Ismail menjadi perdana menteri sedangkan saya sudah merangcangkannya dua tahun lalu.

Jadi, sama ada ia diatur oleh Allah SWT, saya tak tahu. Tapi, akhirnya parti ini akan dapat menterjemahkan idealogi dan pemikiran kami, yang akan diluncurkan pada Ahad.

Ismail maklum akan penubuhan parti ini?

Bila keluar dalam berita, dia maklumlah.

Apa maklum balas Ismail bila tahu berita (Kamarazaman menubuhkan parti) ini?

Saya rasa tidak ada sebab untuk dia mengambil sikap tidak menerima, sebab kami dari dulu lagi menghormati pendirian politik masing-masing dan perjalanan politik asalkan untuk kepentingan rakyat miskin.

Tapi, saya tak tahulah apa yang dia akan komen. Cumanya, bagi saya tidak sepatutnya (Ismail tidak menerima) kecualilah orang-orang yang tidak faham dan tidak tahu hala tuju perjuangan saya ini, dia akan komen negatif dengan mengaitkan adik saya.

Tapi, diri dia sendiri saya rasa dia faham.

Saya pun tidak mencuri ahli parlimen daripada pihak Bersatu, PKR atau Bebas. Sebab, saya yakin mempunyai seberkas tenaga yang faham, jelas dan tahu akan perjuangan mereka, bahkan saya yakin saya akan mainkan peranan melalui parti ini bersama rakan-rakan untuk memberi pilihan kepada rakyat.

Ya, mungkin rakyat suka kepada parti yang dikatakan berbilang kaum macam DAP dan PKR, tapi itu terserah kepada rakyat yang menafsirkannya.

Tapi, saya percaya Ismail Sabri tidak akan memberi komen yang tidak munasabah.

Adakah penubuhan parti baru ini tidak memberi kesan pada Ismail yang kini memimpin negara?

Semua benda ini kita kena lihat sudut mana yang kita mahu lihat, kalau kita melihat dari kaca mata negatif maka kita boleh membariskan ratusan perkara yang negatif.

Tetapi jika kita melihat dari kaca mata positif, ratusan bahkan ribuan nilai positif yang boleh dihasilkan. Jadi, saya tak nampak apa-apa nilai negatif terhadap diri dia, kedudukan dia, bahkan kepimpinan dia. Tidak ada yang negatifnya.

Kalau saya melahirkan sebuah parti Melayu yang rata-ratanya dan jelas menentang Umno maka sudah tentulah ia negatif pada dia.

Tetapi, jika saya mempimpin sebuah parti yang berbilang kaum ini yang di dalam BN sendiri sudah tidak ada parti berbilang kaum, jadi ini boleh dilihat dari kaca mata positif akan dapat memberi sumbangan dan sokongan kepada BN.

Lagi pun di luar sana, ada pengundi Cina dan India yang mungkin tidak berselera dengan kedua parti tersebut atau orang yang tidak ke mana-mana tetapi bila ada sebuah parti berbilang kaum yang jelas perjuangan dia, mungkin mereka ini akan datang menyokong dan mendukung dan ini tentulah menguntungkan BN dan menguntungkan kerajaan yang ada juga.

Saya juga dengar komen-komen negatif ini, tidak mungkin seorang abang turut terlibat mendidik adiknya dari sekolah hingga ke universiti, memberi pandangan, membantu dan menulis mengenai politik dia ingin mencalarkan imej dia yang sekarang sudah jadi perdana menteri.

Dia bukan baru belajar dalam politik. Sekarang dia sudah duduk di kerusi perdana menteri yang diingin ramai, tidak mungkin saya melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri dia dan nilai nilai positif yang saya percikkan kepada dia.

Itu satu perkara yang tidak mungkin berlaku pada seorang abang yang memang dididik rapat oleh ibu bapa saya. Tak mungkin sama sekali.

Tetapi, memang sudah menjadi amalan sesetengah pihak yang tidak tahu menahu tentang parti saya terus membuat tafsiran, buat andaian yang boleh merosakan imej Ismail.

Adakah anda tidak merasakan bahawa anda sebenarnya mahu menumpang populariti Ismail secara tidak langsung?

Saya dilahirkan sebagai seorang anak muda yang mempunyai daya keyakinan sendiri dalam semua perkara termasuk dalam kehidupan, pelajaran, dalam gerakan pelajar dan juga berpolitik.

Saya tidak pernah menumpang glamor, kedudukan, jawatan yang ada pada adik-beradik saya termasuk Ismail Sabri.

Ini terbukti apabila dalam pelajaran politik saya mendahului dia dan dalam perjuangan politik nasional juga saya mendahului dia serta dalam menubuhkan parti ini juga saya telah dua tahun lebih awal sewaktu dia jadi pembangkang lagi saya telah memulakannya.

Cuma saya katakan tadi, ianya secara kebetulan akhirnya rumah (parti) ini siap ketika beliau menduduki kerusi perdana menteri. Saya tidak menumpang populariti sesiapa dalam hidup saya sejak dulu lagi.

Saya menjadi penulis politik dan juga novel tapi saya tidak mendapatkan ilham daripada Ismail. Itu hasil garapan saya terhadap kehidupan saya dan saya menggunakan jalan fikir dan akal fikiran saya untuk membuat sesuatu dalam gerakan pelajar, politik dan kehidupan saya.

Bagaimana anda melihat Ismail Sabri mengemudi negara ketika ini?

Sebagai seorang perdana menteri yang majoritinya agak rendah (tipis), umum melihat tentulah dia dihimpit kebimbangan secara umum tetapi saya dan umum melihat apabila beliau berjaya mengadakan Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 Sept lepas maka umum melihat ia satu keputusan yang baik dan sekurang-kurangnya ia mengendurkan "ketegangan" dalam satu jangka masa yang akan panjang sehingga Jun.

Maka, sudah tentulah ini memberi ruang untuk dia cuba melaksanakan apa yang ada dalam pemikiran dia yang dia telah pun terjemahkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Belanjawan nanti.

Jadi, saya rasa dia mampu menghadapi situasi dan kondisi sekarang dan saya melihat dari dulu pun dia seorang yang aman, tenang, bersahaja menghadapi apa-apa krisis, tenang dalam menghadapi gelombang dan riak suasana politik.

Dan saya sebagai seorang abang mendoakan dia sentiasa kekal dengan keadaan yang ada dan mampu hadapi suasana yang tidak selesa dalam perjalanan politik dia sehingga menuju pilihan raya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS