Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bomba sambut baik penubuhan jawatankuasa khas kes Adib

Penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menandakan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohammad Hamdan Wahid dalam kenyataan berkata ia juga suatu langkah yang sejajar dengan hasrat dan cadangan yang diutarakan oleh pihaknya, iaitu agar segala kekusutan dan pertikaian yang berbangkit dalam kes itu dapat dirungkai dengan penuh iltizam dan bertanggungjawab.

"Saya mewakili seluruh warga JBPM berdoa agar kes Allahyarham Muhammad Adib ini mendapat keadilan yang sewajarnya.

"Ini sekali gus menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat awam bahawa keselamatan nyawa penjawat awam khususnya petugas barisan hadapan sentiasa menjadi keutamaan dan tanggungjawab kerajaan," katanya sambil merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kesungguhan dan komitmen Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhubung langkah penubuhan jawatankuasa itu.

Hari ini, Ismail Sabri memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri semalam memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya dapat dijalankan dalam kes kematian Muhammad Adib.

Muhammad Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikatakan diserang serta dipukul sehingga parah ketika berada di lokasi kejadian rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan kemudiannya meninggal dunia pada 17 Dis 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner yang mendengar inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib memutuskan kematian anggota bomba itu adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS