Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Adakah Wee kata Annuar Musa pun salah isu kabotaj?
Diterbitkan:  Oct 9, 2021 4:46 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng mempersoalkan adakah Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong akan mendakwa bahawa rakan kabinetnya salah mengenai dasar kabotaj yang mempengaruhi pelaburan syarikat teknologi di negara ini.

Lim menyatakan bahawa Wee telah mengkritik Rais Hussin, yang merupakan pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ketika itu kerana mengkritik Wee mengenai dasar kabotaj, dengan menegaskan bahawa ia tidak ada kaitan dengan keputusan Facebook dan Google untuk tidak melibatkan Malaysia dalam projek kabel internet bawah laut Apricot.

Bagaimanapun, Lim mengatakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa kini telah membuat penegasan yang serupa bahawa dasar kabotaj yang tidak dapat diselesaikan telah menyebabkan Facebook dan Google menjauhkan diri dari Malaysia.

"Sekarang menteri komunikasi dan multimedia secara terbuka menggambarkan pandangan Wee sebagai salah. Adakah salah seorang menteri harus meletakkan jawatan?

"Lebih penting lagi, siapa yang mengatakan perkara sebenar dan siapa yang bertanggungjawab mengelirukan Parlimen ketika kedua-dua jawapan balas yang bercanggah itu dibuat di Parlimen?" soal Lim berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Rais sebelum ini menyifatkan Wee sebagai "menteri dengan IQ kobis" dan kemudian meletak jawatan sebagai pengerusi MDEC.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah memberikan pengecualian terhadap kapal asing yang melakukan kerja pembaikan kabel internet bawah laut tetapi pengecualian itu dibatalkan oleh Wee.

Syarikat gergasi teknologi, termasuk Google, Facebook, Microsoft dan Amazon, telah berulang kali meminta kerajaan mengembalikan pengecualian kabotaj era PH untuk kerja pembaikan kabel bawah laut kerana mereka mengatakan adalah penting untuk memastikan kerja pembaikan yang cepat dan internet yang stabil.

Namun, Wee menegaskan bahawa dasar kabotaj tidak akan mempengaruhi pelaburan teknologi dan menekankan bahawa perlu untuk melindungi industri perkapalan tempatan.

Lim menyoal adakah Wee masih berpegang kepada pendirian itu.

"Adakah Wee akan meniru mantera bahawa menteri komunikasi dan multimedia salah seperti mana Rais salah - bahawa dasar kabotaj Wee yang cacat menyebabkan kabel dasar laut sepanjang 12,000 kilometer Apricot memintas Malaysia?

"Aprikot akan menghubungkan Jepun, Taiwan, Guam, Filipina, Singapura, dan Indonesia tetapi akan mengecualikan Malaysia kerana keengganan Wee untuk memberikan pengecualian kabotaj untuk kapal asing yang melakukan kerja pembaikan kabel dasar laut," kata Lim.

Lim mengatakan bahawa MIDF Research telah menganggarkan bahawa pengecualian Malaysia dari kabel bawah laut Apricot yang disokong oleh Facebook dan Google akan mengakibatkan kehilangan sambungan berkapasiti tinggi dan pelaburan bernilai AS$300 juta hingga AS$400 juta.

Rais selanjutnya mengatakan bahawa pembatalan dasar pengecualian kabotaj untuk pembaikan kabel dasar laut juga menyebabkan kerugian pelaburan digital bernilai sekitar RM12 bilion hingga RM15 bilion

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga sebelum ini didesak untuk campur tangan dan menarik balik keputusan Wee.

Lim mengatakan DAP secara aktif menggesa pengembalian dasar pengecualian tersebut untuk melindungi "masa depan anak muda kita".

“Terlalu banyak dipertaruhkan atas ego Wee yang enggan mengakui bahawa dia salah.

"Ini berkaitan pelaburan RM12 bilion hingga RM15 bilion untuk masa depan digital negara kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS