WAWANCARA | Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 15 yang akan diadakan selewat-lewatnya Julai tahun depan, sebuah lagi parti baru ditubuhkan dengan nama Parti Kuasa Rakyat.
Parti berbilang kaum itu diterajui oleh Kamarazaman Yaakob, abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob serta bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya 1970an yang pernah menjadi tahanan ISA selepas memimpin demonstrasi memperjuangkan isu kemiskinan petani di Baling.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Kamarazaman yang juga presiden penaja kepada Parti Kuasa Rakyat yang mesra BN berbicara tentang objektif utama partinya yang memperjuangkan golongan B40 dan M40 atau istilah umum politiknya, rakyat marhaen.
Jelas Kamarazaman, usaha penubuhan Parti Kuasa Rakyat sudah bermula lebih dua tahun lalu bersama beberapa kawan yang berfikiran progresif untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, atas beberapa kekangan ia terpaksa ditunda ke satu tarikh yang dirasakan sesuai baginya iaitu pada esok 10 Oktober 2021.
Berikut wawancara Malaysiakini bersama Kamarazaman:
Kronologi penubuhan Parti Kuasa Rakyat?
Pada awalnya kami ingin meluncurkan parti ini pada 10 Oktober 2020, tetapi oleh kerana masa itu tidak sempurna lagi dari segi barisan kepimpinan dan suasana yang tidak begitu memihak akhirnya tertunda kepada Ahad ini.
Dari segi peluncuranpun sudah tertangguh setahun tetapi kronologinya sudah dua tahun.
Jadi, bila saya bertemu beberapa orang dalam situasi dan kondisi politik sekarang ini saya merasakan perlu ada sebuah parti berbilang kaum yang sebenarnya.
Walaupun DAP mengatakan dia parti berbilang kaum, begitu juga dengan Gerakan tetapi hakikatnya mereka bukanlah sebuah parti berbilang kaum yang sebenarnya.
Cuma, yang ada, saya lihat adalah PKR boleh diterima berbilang kaum. Tapi garis perjuangan dia degan garis perjuangan kelompok saya adalah berbeza.
Dia (PKR) kalau kita lihat garis perjuangan dia adalah reformasi, tetapi saya lebih spesifik bahawa garis perjuangan parti yang akhirnya saya namakan 'kuasa rakyat' ini adalah asas idealogi dia, nasionalisme dan marhaenisme.
Marhaenisme ini jelas dalam bahasa yang mudah ialah perjuangan untuk rakyat marhean atau susah yang dikategorikan di bawah B40 dan sebahagian M40.
Jadi, kami berbincang dan akhirnya memutuskan untuk menubuhkan sebuah parti.
Berbalik kepada parti berbilang kaum yang sejati berbeza dengan Gerakan atau pun DAP di mana barisan kepimpinan kami memang mencakupi semua bangsa dan kaum yang besar di negara ini dan itu kami terjemahkan kepada barisan kepimpinannya. Struktur parti misalnya, kami ada seorang presiden, lima timbalan presiden dan lima naib presiden manakala 24 anggota jawatankuasa pusat.
Di samping itu juga parti ini memberi kuasa autonomi sebenarnya kepada Sabah dan Sarawak.
Jadi, kepimpinan negeri parti ini tidak ditunjuk oleh presiden, kepimpinan negeri diputuskan dalam pemilihan negeri tetapi bagi Sabah dan Sarawak, mereka bukan sahaja memilih kepimpinan negeri tetapi juga memilih wakil mereka menduduki kerusi timbalan dan naib presiden parti.
Sabah ini juga selewat-lewatnya sebulan sebelum perhimpunan peringkat nasional dalam pemilihan, mereka membuat pemilihan di perigkat negeri. Itu di peringkat negeri.
Dalam konteks inilah, saya mengatakan bahawa parti kami adalah parti yang paling demokratik dan Sabah, Sarawak mendapat autonomi yang sejati dari segi parti.
Mengapa anda memilih kali ini untuk melancarkan parti baru ini? Bukankah sudah terlalu banyak parti sedia ada dalam negara?
Parti ini boleh jadi banyak dan boleh jadi sikit bergantung kepada situasi dan kondisi semasa. Sebab dinamika politik itu seperti air yang mengalir, dia terus mengalir dan ada yang masuk longkang, ada yang masuk tasik dan ada juga yang sampai ke lautan kuasa.
Ya, mungkin banyak parti (sedia ada) tapi ideologinya tak jelas, perjuangannya tidak begitu jelas serta tidak begitu diminati.
Tetapi, parti yang lahir atas idealogi mungkin sedikit. Jadi, soal parti banyak atau tidak itu terserah kepada selera, keinginan dan kepercayaan rakyat terhadap perjuangan parti tersebut.
Jadi, dalam konteks negara ini, parti yang jelas idealogi nasionalisme dan marhaenisme ini saya rasa parti ini sajalah.
Dengan memilih nama Parti Kuasa Rakyat dengan singkatan PKR - apakah ia tidak mengelirukan pengundi?
Akronim kita bukan PKR. Kita tidak akan mengelirukan pengundi, kita tidak akan mengelirukan orang ramai dengan PKR.
Akronim kita adalah 'kuasa rakyat'. Kita tak sebut PKR tapi kita sebut parti kita adalah Kuasa Rakyat. Parti Kuasa Rakyat atau Kuasa Rakyat.
Kita tidak menggunakan huruf ringkas untuk menjenamakan parti.
Sejauh mana anda yakin penerimaan parti ini dalam kalangan rakyat?
Pengukuran itu saya tak boleh buat sekarang, kerana terlalu awal. Kemudian, selera orang muda hari ini yang berusia 18 tahun sudah tentu berbeza dengan orang yang berusia 96 macam Tun Dr Mahathir Mohamad dan 70 tahun macam saya tetapi iklim politik semasa itu akan menentukan pengaruh.
Tetapi saya percaya perjuangan saya yang jelas untuk rakyat miskin, biasiswa percuma, kesihatan percuma, rumah percuma, kelestarian alam sekitar, pekerjaan, putuskan penindasan terhadap golongan ehailing yang ditindas oleh kapitalis kecil yang mana 20 hingga 30 peratus hasil kerja mereka didakwa disedut oleh syarikat begini dan saya akan menyuarakan supaya kerajaan membentuk satu agensi yang membantu anak-anak ini mendapat hasil titik peluh mereka yang sepatutnya.
Inilah tugas parti saya untuk membela nasib anak-anak ini.
Apakah anda tidak merasakan parti baru ini akan memecahkan lagi rakyat dan merosakkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu?
Sebab itu tadi saya kata kita melihat dari kaca mata mana. Kalau kita lihat melalui kaca mata hijau kita akan nampak banyak hijau. Tapi, kalau kita lihat melalui kaca mata putih bersih kita akan nampak apa yang sejati.
Jadi, parti ini menjual produk, Umno jual produk Melayu, raja. PAS jual produk Islam, PKR jual reformasi dia, tapi parti saya menjual satu garis untuk rakyat marhean.
Jadi, ia tidak akan menimbulkan perpecahan kepada pengundi Melayu, kerusi saya akan bertanding di kawasan multiracial dan jika ada kerusi di parlimen kawasan Melayu parti saya akan menyokong BN.
Kalau terima tak terima pun, jadi mesra BN saya akan menyokong kerajaan kerana kami yakin apa yang kami suarakan ini dapat dilaksanakan oleh kerajaan. Walaupun ada persamaan dengan PH ke apa tapi kami tahu ia tidak akan dapat dilaksanakan oleh PH.
Tak timbul soal pecah belahkan pengundi tetapi kami menjual produk kami, bukan sahaja produk multiracial tetapi perjuangan yang kami gariskan itu adalah produk yang kami jual.
Ya, mungkin kalau orang PKR tengok kita nak pecah belahkan (pengundi Melayu) tetapi bagi kami tidak. Kami hanya menawarkan kepada rakyat bahawa ada alternatif parti multiracial yang lain selain PKR dan ia terserah kepada keyakinan rakyat dan pengundi.
Jadi, tak timbul soal pecah belah. Kini terserah kepada masyarakat untuk memilih ke mana begitu juga dalam pilihan raya.
Apakah anda tidak melihat parti picisan ini sebagai pengacau saja?
Perkataan pengacau itu dari segi apa? Kalau dodol orang kena kacaulah, untuk hasilkan benda yang baik. Tetapi kalau mengacau dari segi ini, tapi mengacau itu memberikan satu alternatif baru kepada rakyat itu satu pengacau yang mengacau dodollah, menghasilkan sesuatu yang baik, yang bagus dan bukan benda yang tak bagus untuk rakyat.
Ada yang mendakwa beberapa bekas pimpinan PKR yang akan menyertai Parti Kuasa Rakyat, sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut?
Memang betul, salah seorangnya adalah bekas Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrishnan. Ada seorang lagi bekas calon dan ketua perhubungan PKR Kelantan yang bernama Nik Aziz Nik Hassan, dia merupakan bekas ketua jabatan dakwah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga bekas pensyarah.
Ada juga bekas calon Amanah, dia bekas calon parlimen PAS tiga kali dan dia juga juga bekas calon parti Amanah sekali dan ada beberapa lagi bekas ahli parti dan pemimpin lain. Bekas calon MIC dengan MCA pun ada.
Tetapi, (nama-nama seperti Zuraida, Azmin Ali) tidak ada dan saya tidak akan mengambil mana-mana pemimpin parti sama ada dalam parti sahabat saya Anwar Ibrahim atau pun Bersatu.
Sebab saya tidak akan buat begini, kalau saya buat ia akan menimbulkan masalah kepada Ismail Sabri (gambar, bawah).
Lagi pun saya percaya dengan regu atau pasukan dan barisan saya.
Sebab wakil rakyat ini nampak besar sekarang kerana dia wakil rakyat tetapi apabila Ismail bubar saja parlimen, mereka ini sama saja taraf dengan saya.
Mungkin dari segi pengalaman politik, dari segi daya pemikiran atau dari segi membaca politik saya lebih tahu dan berpengalaman dari mereka.
Yang berhormat Zuraida dia nampak besar tetapi bila Ismail bubar saja parlimen, saudari Zuraida sama saja dengan saudara Kamarazaman.
Jadi, maknanya dia nampak hebat sebab dia "YB" sekarang. Jadi, tidak perlu saya mencuri mana mana ahli parlimen
Bagaimanapun, saya menerima mana-mana ahli parlimen bebas tetapi bukan bekas mana-mana parti.