Kerajaan Pahang tidak ada melantik sebuah syarikat yang kononnya dipengerusikan seorang kerabat bagi melaksanakan program pemutihan tanah yang diteroka secara haram di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata kerajaan negeri juga tidak pernah menerima permohonan atau berbincang dengan mana-mana wakil syarikat tersebut, sebaliknya hanya mengetahui mengenai kewujudannya menerusi media sosial.
"Kami tidak pernah membincangkan pelantikan syarikat itu dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sedangkan setiap perkara berkaitan pemutihan tanah dibawa ke situ untuk diputuskan bersama memandangkan ia bukan keputusan individu.
"Semua tindakan pemutihan perlu diperhalusi sebaiknya dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana kerajaan negeri berhadapan risiko jika penguatkuasaan tidak mengikut ketetapan dibenarkan," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.
Wan Rosdy berkata sebagai contoh, semua laporan penerokaan tanah haram memerlukan siasatan terperinci oleh agensi terlibat sebelum kelulusan operasi penguatkuasaan dikeluarkan supaya ia tidak melibatkan tanah milik yang memungkinkan kerajaan negeri disaman.
Pada kebiasaannya operasi penguatkuasaan tanah haram juga dilakukan oleh agensi dan jabatan kerajaan, dan jika sekalipun ia perlu melibatkan syarikat luar, Wan Rosdy menegaskan perkara itu juga perlu dibawa ke mesyuarat Exco.
Sehubungan itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri akan merujuk perkara tersebut kepada Penasihat Undang-Undang Pahang Saiful Edris Zainuddin untuk tindakan selanjutnya kerana ia melibatkan nama baik kerajaan Pahang.
"... terpulang juga kepada mereka yang mungkin turut terpedaya atau ada membuat bayaran kepada syarikat terlibat sama ada mahu membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang," katanya.
Sejak semalam, tular dakwaan kewujudan sebuah syarikat yang mendakwa diberi mandat oleh kerajaan Pahang bagi melaksanakan program pemutihan tanah selain berperanan sebagai perantara antara kerajaan negeri dan peneroka untuk menguruskan tanah terlibat.
Syarikat yang didakwa beralamat di Kuantan itu juga didakwa ada menghantar surat kepada pejabat tanah di Pahang menyatakan hasrat menjalin kerjasama bagi program pemutihan tanah.
- Bernama