Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azalina tak terlibat dalam pelantikan Danesh, kata pejabat MP
Diterbitkan:  Oct 8, 2021 9:20 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Pejabat Ahli Parlimen Pengerang hari ini menafikan pihak mereka ada berperanan dalam pelantikan Danesh Raj Nagarajan menjadi anggota Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM).

Dalam kenyataan dikeluarkan itu mereka berkata Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said tidak tahu menahu mengenai pelantikan tersebut sehinggalah melihat poster ucapan tahniah daripada UM untuk Danesh Raj.

"Berikutan pelantikan Danesh Raj sebagai ahli Lembaga Pengarah UM, beberapa tuduhan dibuat untuk menggambarkan seolah-olah Dato Seri Azalina Othman Said menggunakan pengaruhnya sebagai majikan bagi mengarahkannya ke jawatan itu.

"Pejabat ini memaklumkan, bukan sahaja beliau tidak terlibat, malah pelantikan tersebut tidak ada dalam pengetahuannya sama sekali.

"Dia hanya mengetahui mengenai perkara itu pada 5 Oktober apabila poster ucapan selamat UM dikongsi dan disebarkan melalui Whatsapp," kata pejabat Azalina.

Untuk rekod pelantikan Danesh Raj mendapat reaksi yang rencam dengan sesetengah menganggap pemuda berusia 26 tahun itu belum sesuai diletakkan di tempat berkenaan.

Dibuat berdasarkan merit

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad mempertahankan pelantikan tersebut dan menegaskan ia dibuat mengikut saluran yang betul

Danesh Raj adalah lepasan Pusat Kebudayaan UM dan menjadi anggota Parlimen Malaysia. Dia diberikan tanggungjawab menjadi anggota Lembaga Pengarah UM antara 4 Okt hingga 3 Okt 2024.

Pejabat itu juga menafikan Danesh Raj adalah pegawai khas Azalina seperti yang didakwa pihak tertentu, sebaliknya kakitangan yang mengendalikan akaun media sosial rasmi bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Kata pejabat itu, mereka yakin pelantikan Danesh dilakukan dengan adil.

"Pejabat ini tidak diberitahu oleh sesiapa pun mengenai pelantikan itu, tetapi Menteri Pengajian Tinggi menyatakan di Dewan Rakyat bahawa Danesh dilantik atas kapasitinya sebagai alumni UM, yang tentunya juga mengambil kira pencapaian dan disiplin akademiknya sebagai dalam program dan aktiviti semasa menjadi pelajar dan sebagai alumni.

"Menteri itu juga menyatakan bahawa pelantikan Danesh adalah keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Tinggi yang ingin melihat belia menyumbang dalam kepemimpinan organisasi di peringkat nasional termasuk di universiti awam.

"Pejabat ini mengalu-alukan sebarang pelantikan yang dibuat tanpa pengaruh luar dan berdasarkan merit," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS