Dilihat berbolak-balik semasa menguruskan kemelut politik Melaka, hari ini Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan keadaan itu kepada umum.
Katanya memang di Dewan Rakyat sebelum ini dia menyatakan saranan agar rakyat diberikan mandat untuk memilih kerajaan baru di Melaka jika benar kerajaan sedia ada - diterajui BN dan PN - sudah tumbang.
Bagaimanapun katanya dia tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai saranan berkenaan kerana ruang masa untuk dia bercakap adalah terhad.
"Banyak lagi hal rakyat yang perlu diketengahkan kepada dewan," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Pada 4 Okt lalu semasa berbahas di Dewan Rakyat Ahmad Zahid menyarankan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan ekoran kemelut yang berlaku membabitkan isu dalaman Umno.
Kata Ahmad Zahid dia tidak hairan jika Umno kehilangan kerajaan yang dipimpin melalui Sulaiman Md Ali selaku ketua menteri.
"Dan kita beri mandat semula pada rakyat untuk rakyat memilih manakah kerajaan terbaik untuk mentadbir negeri dan juga negara kita insya-Allah," katanya.
Putuskan selepas berbincang
Sehari kemudian Pengerusi Umno Melaka merangkap speaker DUN negeri itu Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN selepas empat Adun kerajaan membatalkan sokongan mereka kepada Sulaiman.
Sementara menunggu kerajaan baru, kata Ab Rauf, Sulaiman akan mengetuai kerajaan sementara (caretaker).
Tidak lama kemudian Ahmad Zahid mengadakan sidang media bagi mengulas pembubaran DUN Melaka. Di luar Dewan Rakyat ahli parlimen Bagan Datuk itu kemudian memberi gambaran darurat perlu diisytiharkan agar pilihan raya negeri (PRN) dapat ditangguhkan.
Ahmad Zahid memetik keadaan semasa pandemik Covid-19 sebagai hujah untuk kerajaan memikirkan kemungkinan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Melaka.
Langkah sama diambil di Sarawak bagi menangguhkan PRN di negeri itu.
Pengkritik mendakwa langkah mencadangkan darurat itu sengaja digerakkan Umno bagi memastikan mereka kekal mentadbir Melaka untuk tempoh yang lebih lama.
Kata Ahmad Zahid pada sidang media yang diadakan pada 5 Okt lalu dia mempunyai masa yang yang cukup bagi menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai pendiriannya.
"Walaupun langkah terbaik untuk menangani kemelut di Melaka ialah dengan mengadakan PRN, namun masih perlu mengambil kira faktor lain.
"Maka sebaiknya ia diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.
Sehingga ada keputusan muktamad dibuat, tambah Ahmad Zahid, Ketua Menteri Melaka akan terus berfungsi dalam bentuk "caretaker goverment".
Pada masa yang sama katanya Umno mengakui nasi sudah menjadi bubur.
"Maka parti perlu bersiap siaga mengharungi PRN jika itu yang ditetapkan oleh SPR," katanya.