Trafik di lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dijangka meningkat antara 1.1 juta hingga 1.3 juta kenderaan setiap hari apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan semula.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, berkata pihaknya menjangkakan ramai penduduk, khususnya di Lembah Klang serta dari negeri-negeri lain akan merebut peluang yang ditunggu-tunggu ini untuk bersama keluarga dan sahabat handai.
"PLUS bersedia untuk membuka semula semua 94 plaza tol di seluruh wilayah utara dan selatan untuk menerima pertambahan kenderaan sebaik sahaja sekatan perjalanan antara negeri ditarik balik.
"Semua laluan lebuh raya utara selatan ini bersedia menerima kenderaan sebaik sekatan pergerakan negeri ditarik balik," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Zakaria, PLUS ingin tetap memberi peringatan terhadap keperluan kepatuhan SOP Covid-19 dan menggalakkan pengguna supaya berehat selepas memandu selama dua jam.
“Mereka diingatkan untuk tetap mengikuti SOP MKN termasuk memeriksa MySejahtera, mengambil suhu, memakai topeng muka yang betul, menjaga penjarakan fizikal, dan sentiasa memastikan kebersihan tangan mereka, kerana ia masih merupakan sebahagian SOP di sepanjang lebuh raya kami", katanya.