Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayar cukai atau tidak - LHDN diminta semak individu dalam Kertas Pandora

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mula memeriksa pemilik akaun luar pesisir yang disebut dalam Kertas Pandora bagi memastikan semua cukai yang sepatutnya dikenakan ke atas mereka telah dibayar.

Katanya, Malaysia harus menggunakan perjanjian pertukaran maklumat automatik yang ditandatangani dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Ia katanya bagi mendapatkan maklumat mengenai aset yang dimiliki rakyat Malaysia di syurga cukai (tax haven) dan entiti luar pesisir, untuk memeriksa sama ada cukai telah dibayar atau sebaliknya.

"Saya yakin LHDN memiliki proses yang dapat dimulakan dengan segera.

"Seperti sekarang, rakyat Malaysia berada di bawah tekanan untuk membayar cukai pendapatan, jadi mengapa tidak jutawan-jutawan ini juga menghadapi tekanan yang sama?" katanya.

Dia berkata perkara itu bakal menghasilkan pendapatan yang lebih pantas berbanding mengenakan cukai baru seperti cukai durian runtuh (windfall tax) untuk menambahkan pendapatan negara dalam tempoh ekonomi yang mencabar.

"Perlu ada pemeriksaan apakah aset tersebut berada di bawah pengecualian cukai berganda.

"Dalam kes ini, lebih baik kita kenakan cukai (individu ini) terlebih dahulu sebelum negara lain melakukannya dan saya yakin sebagai rakyat Malaysia yang patriotik, mereka ingin membayar cukai kepada Malaysia dan bukannya di negara lain," kata Azan.

Kertas Pandora adalah sekumpulan dokumen yang dibocorkan daripada 14 penyedia perkhidmatan yang membantu individu menubuhkan entiti luar pesisir, kebanyakannya berada di syurga cukai.

Kebocoran yang terbesar itu diberikan kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa yang berpusat di Washington DC, yang kemudian memberikan akses kepada rakan kongsinya di seluruh dunia, termasuk Malaysiakini.

Antara yang ditemui Malaysiakini dalam Kertas Pandor termasuk bekas Menteri Kewangan yang juga tokoh korporat Daim Zainuddin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi - yang semuanya mengatakan mereka tidak melanggar undang-undang dan semua cukai yang perlu dibayar telah dibayar.


Baca: Menteri, ahli politik dan hartawan Malaysia didedah jadi pemilik syarikat pesisir


Mereka dinamakan pada Isnin lalu, ketika Malaysiakini menerbitkan senarai individu dari Malaysia yang tidak lengkap yang dinyatakan dalam Kertas Pandora itu.

Senarai ini tidak lengkap disebabkan ukuran kebocoran adalah sebesar 1.92 Terabyte atau 11.9 juta rekod.

Ini bermaksud tidak ada angka tepat mengenai saiz aset yang dimiliki oleh rakyat Malaysia yang disebutkan dalam Kertas Pandora.

'Periksa dulu'

Bagaimanapun, Azan berpendapat, melihat kepada anggaran sebelum ini mengenai aliran keluar dana haram dari Malaysia, ia boleh membantu mengukur berapa banyak yang boleh dikutip LHDN.

Dengan menggunakan anggaran Integriti Kewangan Global mengenai aliran wang haram yang keluar dari Malaysia, Azan percaya Malaysia boleh mendapatkan kembali kerugian cukai sehingga RM200 bilion dengan meneliti aset dan cukai yang dibayar oleh individu yang mempunyai pegangan luar pesisir untuk kemungkinan pengelakan cukai pendapatan.

GFI menganggarkan bahawa Malaysia kerugian hingga AS$ 431 bilion (RM1.8 trilion) dalam aliran keluar wang haram antara tahun 2005 hingga 2014, yang disebabkan oleh salah invois dan kebocoran dalam imbangan pembayaran.

Namun, ini tidak merujuk kepada pengelakan cukai pendapatan individu, manakala anggaran Azan itu atas anggapan tidak mungkin semua aset yang dipegang oleh rakyat Malaysia di luar negara dikenakan cukai di Malaysia, atau belum membayar cukai ke atasnya.

Pemilikan yang dikaitkan dengan Daim dalam Kertas Pandora, misalnya, merangkumi pendapatan sewa harta tanah di London - sesuatu yang dikecualikan daripada cukai di Malaysia, menurut Akta Cukai Pendapatan Malaysia 1967.

Ini dipegang oleh syarikat yang berdaftar di Kepulauan Virgin di Britain, tetapi beberapa pemegang amanah dan firma lain yang berkaitan dengan Daim didaftarkan di bawah bidang kuasa seperti Samoa.

Ketika dihubungi, Daim berkata dia telah membayar semua cukai yang perlu dibayar berkaitan perniagaannya.

"Kalau itu benar, maka tak ada masalah, tetapi pertama-tamanya kita kena periksa dulu," kata Azan.


Baca: Bagaimana Daim, orang kaya Malaysia guna Singapura simpan duit di luar negara.


Pada Selasa lalu, Kesatuan Eropah (EU) meletakkan Malaysia dalam "senarai kelabu" bagi negara-negara yang tidak bekerjasama bagi tujuan percukaian.

Ia menimbulkan kebimbangan terhadap pengecualian yang diberikan oleh undang-undang Malaysia untuk pendapatan sumber asing.

Walaupun pengecualian ini bertujuan untuk menghindari cukai berganda, EU khuatir ia juga boleh menyebabkan "tiada cukai berganda dikenakan".

EU mengatakan Malaysia berada dalam senarai kelabu (Lampiran II), dan bukan hitam (Lampiran I) kerana telah memberi komitmen untuk membuat pindaan terhadap rejim percukaian pendapatan asing yang “berbahaya” pada akhir tahun depan.

Negara lain dalam senarai kelabu termasuk Costa Rica, Hong Kong, Qatar dan Uruguay, sementara negara yang disenarai hitam termasuk Samoa Amerika, Fiji, Guam, Palau, Panama, Samoa, Tribidad dan Tobago, Virgin Island AS dan Vanuatu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS