Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRN Melaka: Bekas Adun hantar surat ke Istana Negara

Dua bekas Adun Melaka hari ini menghantar surat ke Istana Negara bagi memohon supaya menarik balik pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membuka laluan bagi pilihan raya di negeri itu.

Menurut Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, surat itu memohon Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah Sultan Azlan Shah untuk menasihati Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam untuk menarik balik keputusan membubarkan DUN.

"Sekitar jam 5.55 petang, kedua-dua mantan wakil rakyat ini telah pergi ke Istana Negara untuk memberi warkah, surat kepada pemangku Agong Sultan Nazrin untuk maklumkan mengenai keadaan yang berlaku di Melaka, terutamanya terkait dengan keputusan Tuan Yang Terutama Tun (TYT) membubarkan DUN.

"Dalam surat itu dinyatakan antara lain, beberapa pandangan termasuk meminta supaya TYT Tun menarik balik pengisytiharan pembubaran DUN.

"Setelah kita teliti Perlembagaan Melaka, tidak ada sebarang klausa atau peruntukan yang tidak membenarkan TYT untuk menarik balik pengisytiharan tersebut," katanya pada sidang media yang diadakan di pejabat Presiden PKR, Anwar Ibrahim di Petaling Jaya, malam ini.

Sidang media itu diadakan setelah dua Adun - Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) - mengadakan pertemuan dengan PKR.

Menurut salinan surat yang dilihat Malaysiakini, selain Norhizam dan Effandi, surat itu juga ditandatangani tiga ADUN lain, termasuk Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari.

Surat  berkenaan ditujukan kepada Sultan Nazrin memandangkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah tidak ada di dalam negara ketika ini.

Shamsul berkata, PKR dan PH membantah pilihan raya negeri diadakan memandangkan waktu ini bukan masa yang sesuai untuk ia diadakan berikutan pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga menolak cadangan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi agar darurat diisytiharkan supaya pilihan raya berkenaan ditangguhkan seperti yang berlaku di Sarawak.

Menurutnya, cadangan Zahid adalah "separuh masak" dan hanya akan menimbulkan masalah, terutama apabila negeri itu masih belum membentangkan belanjawan negeri untuk tahun hadapan.

Ketika ditanya apakah yang akan dilakukan sekiranya usaha memohon bantuan  Istana Negara itu gagal, Shamsul berkata mereka masih mempunyai pilihan lain iaitu membawa perkara itu ke mahkamah.

"Dari segi fakta yang dizahirkan dalam kenyataan speaker (DUN Melaka), bermaksud ketika Sulaiman Md Ali mengutus surat kepada TYT, beliau sudah hilang keabsahan sebagai ketua menteri.

"Kalau ada nasihat pun, itu hanya permintaan yang TYT boleh tolak, tidak wajib untuk diikuti kerana bukan act on advise (bertindak atas nasihat). Surat itu (dari Sulaiman) hanya permintaan," kata Shamsul.

'Tak fikir lagi nak sokong PH'

Sementara itu, Norhizam ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Anwar menafikan bahawa dia kini menyokong PH, sebaliknya mengatakan ia hanya pertemuan biasa.

"Buat masa ini kita tak fikir lagi. Kita nak selesaikan masalah kepimpinan sekarang ini," kata Norhizam.

Norhizam dan Effandi adalah antara empat Adun yang menarik sokongan mereka kepada kerajaan negeri BN-Perikatan Nasional, yang menyebabkan pembubaran DUN Melaka dan secara automatik membuka laluan bagi pilihan raya negeri.

Dua Adun yang lain ialah Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor) dan Idris Haron (Umno-Sungai Udang).

Penarikan balik sokongan mereka menyebabkan Sulaiman, yang juga merupakan pemimpin Umno hilang majoriti sebagai ketua menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS