Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadar vaksinasi: Sabah ketinggalan, KKM percepatkan program outreach

Sabah dijangka menjadi negeri terakhir yang mencapai kadar vaksinasi 80 peratus untuk populasi orang dewasa, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, berdasarkan laporan mendapati tidak ramai lagi individu datang ke pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini, menyebabkan proses imunisasi menjadi lebih perlahan.

Setakat semalam, kadar vaksinasi di Sabah adalah yang terendah dengan hanya 63.3 peratus daripada populasi orang dewasa yang telah menerima dos lengkap.

"Unjuran dos pertama, saya jangka tercapai 80 peratus, kecuali Sabah yang kita akan laksana kempen gerak vaksin kepada masyarakat

"Saya telah berhubung dengan pengarah JKN (Jabatan Kesihatan Negeri) Sabah untuk pertingkatkan lagi program outreach, sebab didapati di Sabah laporan yang datang PPV tak ramai dah.

"Negeri lain saya yakin akan sampai (sasaran) seperti di Kelantan, Perak dan sebagainya," kata Khairy pada sidang media hari ini.

Dia menjawab pertanyaan mengenai usaha KKM untuk meningkatkan kadar vaksinasi di negeri-negeri tertentu yang ketinggalan, berikutan langkah kerajaan untuk membenarkan perjalanan rentas negeri tidak lama lagi.

Statistik KKM menunjukkan empat negeri lain yang belum mencapai 80 peratus adalah Kelantan (72.9 peratus), Perak (77.3 peratus), Kedah (78.2 peratus) dan Pahang (79 peratus).

Berhubung perjalanan rentas negeri, KKM juga telah meneliti saranan agar mereka yang enggan menerima vaksin diwajibkan melakukan ujian kendiri, namun mendapati peraturan tersebut sukar untuk dikuatkuasakan.

"Tak ada cara untuk kita kuatkuasakan cadangan tersebut.

"Takkan kita nak ada sekatan jalan raya dan check setiap orang keluar dan kalau tak vaksin kita test dia di situ.

"Saya rasa rakyat akan lebih marah kalau ada sekatan jalan raya, sebab dah tunggu lama nak balik kampung," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS