mk-logo
Berita
Suami isteri rentung lepas kereta terbabas
Diterbitkan:  Oct 7, 2021 3:48 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Sepasang suami isteri rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di lampu isyarat berhampiran sebuah pusat beli-belah di Mergong di Alor Setar awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata dalam kejadian kira-kira 3.15 pagi itu, mangsa dikenali Lim Gi Ying, 21, dan isterinya Tan Sun Wen, 19.

"Hasil siasatan mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Lim sedang bergerak dari arah lampu isyarat Tesco Mergong ke lampu isyarat Raden.

"Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke bahagian kiri pembahagi jalan sebelum melanggar tiang papan tanda. Ia menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke kanan laluan utama sebelum terbakar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa maut terbakar di dalam kereta di tempat kejadian berikutan ia rosak teruk pada bahagian hadapan.

"Butiran mangsa telah dikenal pasti melalui waris mangsa dan kad pengenalan yang dijumpai di dalam beg seorang daripada mangsa.

"Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS