Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kegiatan terlarang seorang anggota polis membawa masuk pendatang tanpa izin (Pati) dari negara jiran terdedah apabila dia ditahan pihak berkuasa dalam kejadian di Kampung Lalang Pepuyu, Rantau Panjang, Kelantan, malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat, berkata anggota berpangkat koperal berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam bersama rakannya, seorang peniaga berusia 28 tahun.

Kata Shafien, penahanan koperal Pasukan Gerakan Am (PGA) itu dilakukan pasukan polis dari Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan yang bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

Katanya pasukan terbabit sedang melakukan rondaan sebelum melihat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex berada dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki iaitu anggota polis yang memandu dan rakannya berada di tempat duduk sebelah serta enam individu warga Thailand berusia antara empat hingga 48 tahun.

"Kesemua Pati yang terdiri daripada lima wanita dan seorang kanak-kanak terbabit ditahan.

"Siasatan awal mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah atau hanya memiliki dokumen perjalanan yang sudah tamat tempoh," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Pernah kena tindakan disiplin

Shafien menambah polis turut merampas wang tunai bernilai RM1,276, sejumlah mata wang Thailand, telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri.

Katanya anggota polis terbabit mendakwa dia datang mengambil kesemua Pati berkenaan untuk dijadikan pekerjanya di sebuah kedai makan di Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun kata Shafien, siasatan lanjut mendapati ada percanggahan maklumat.

Menurut Pati berkenaan, katanya, mereka dibawa masuk menerusi pangkalan haram di Sungai Golok itu untuk bekerja di kedai makan di Taman Melawati dan Gombak, Selangor.

Malah kata Shafien, mereka menafikan akan bekerja di kedai makan anggota polis itu.

"Dua suspek itu menyewa MPV yang digunakan dengan kadar RM450 sehari bagi memudahkan mereka membawa Pati. Hasil siasatan juga mendapati anggota polis itu pernah bertugas di sempadan negara sebelum dikenakan tindakan disiplin dan dipindahkan ke Pahang.

"Anggota polis bersama rakannya ditahan reman selama 28 hari bermula hari ini di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

"Mereka ditahan untuk siasatan mengikut 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007. Sementara itu, kesemua pati ditahan untuk siasatan mengikut 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Sehubungan itu tegas Shafien, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk anggota polis jika didapati melanggar undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS