Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad Maslan tarik diri sebagai calon timbalan speaker
Diterbitkan:  Oct 7, 2021 1:21 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan menarik diri daripada pencalonan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Katanya, langkah itu diambil bagi menumpunkan perhatian kepada tugasnya sebagai setiausaha agung Umno.

Katanya, jawatan itu “memakan banyak masa”, lebih-lebih lagi dalam suasana politik yang mencabar sekarang.

Ahmad juga berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno serta perdana menteri dan telah dimaklumkan kepada speaker Dewan Rakyat.

“Oleh itu, PM tentunya akan menamakan calon lain dan tempoh untuk menamakan calon itu ialah dalam masa sehari dua inilah,” katanya.

Perikatan Nasional (PN) menolak langkah untuk mewujudkan jawatan timbalan speaker ketiga kerana jumlah sedia ada sudah mencukupi.

Sebelum ini, beberapa sumber PH dan BN memberitahu kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan jawatan timbalan speaker ketiga, dikhususkan kepada pembangkang.

Ia dilihat sebahagian daripada persefahaman kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan Pakatan Harapan (PH) bagi mewujudkan kestabilan politik sehingga pilihan raya umum akan datang.

Bersatu, yang lantang tetapi bersama kerajaan, sebelum ini berkata tidak akan menyokong calon yang mempunyai kes mahkamah.

'Di kerusi timbalan speaker, nak cakap apa?'

Sementara itu, dalam sidang media di bangunan parlimen sebentar tadi, Ahmad berkata jawatan timbalan speaker juga akan menjadikannya tidak lagi boleh ikut berbahas dalam Dewan Rakyat.

“Kalau saya duduk di kerusi timbalan speaker, saya nak cakap apa? Suruh orang duduk, suruh orang keluar (saja).

“Jadi fungsi saya yang aktif itu tak dapat saya teruskan,” katanya.

Dia juga menegaskan dia tidak pernah melobi untuk ke jawatan itu sebelum ini sebaliknya perdana menteri sendiri yang mencadangkan namanya.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS