Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis Kelantan nafi tangkap dua beradik Orang Asli

Polis Kelantan menafikan mengenai paparan yang tular di media sosial berhubung penangkapan dua beradik Orang Asli di Kampung Rumlag, Kuala Betis, Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat berkata, paparan tular oleh pengguna Facebook bernama Nasir Nash yang mengatakan dua beradik itu ditahan polis kerana mempertahankan kawasan mereka daripada pencerobohan syarikat pembalakan adalah tidak benar.

Menurutnya, semalam anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang mengadakan perjumpaan dengan wakil penduduk Orang Asli Kampung Rumlag Sungai Raya berkaitan halangan di kawasan pembalakan.

"Tujuan perjumpaan itu diadakan bagi mengenal pasti punca permasalahan serta memberi nasihat dari segi keselamatan bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku.

"Semasa pihak polis membuat rondaan  di kawasan pembalakan berkenaan, dua individu tersebut meminta untuk bergambar bersama kenderaan polis sebagai kenangan dan simpanan peribadi mereka.

"Bagaimanapun gambar tersebut disalahertikan dan ditularkan di platform media sosial," katanya dalam kenyataan kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, gambar dua individu tersebut tular dengan kenyataan antaranya menyatakan mereka ditahan dan digari oleh pihak polis kerana menghalang pencerobohan pihak pembalak di kawasan tersebut.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini mendapati hantaran tersebut telah dipadam dan Nasir turut menyatakan permohonan maaf.

"Atas permintaan ahli keluarga untuk padam posting ini saya akur dan memohon maaf. Kata mereka kejadian ini tidak benar. Harap maklum kepada semua pembaca," kata Nasir.

Sementara itu Shafien berkata, pihaknya menerima laporan penafian polis berhubung perkara itu.

"Satu kertas siasatan dibuka dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS