Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Melaka: ‘Strategi tak boleh diumum, jika diumum, bukan lagi strategi’

Umno tidak akan mendedahkan berkaitan strategi yang akan digunakan dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung kelak, kata setiausaha agungnya, Ahmad Maslan.

Malah, kata ahli parlimen Pontian itu, jika diumumkan maka ia bukan lagi strategi.

"Strategi tak boleh diumum.

“Jika diumum, bukan lagi strategi," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan partinya dalam berdepan PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam memaklumkan pihaknya telah menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Ab Rauf Yusoh berhubung pembubaran DUN Melaka.

Berdasarkan Fasal (4) suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

Kerajaan negeri Melaka tumbang apabila empat Adun (atas) yang diketuai bekas ketua menteri, Idris Haron, mengumumkan menarik balik sokongan mereka.

Idris adalah Adun Sungai Udang. Tiga Adun yang lain ialah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui tindakan beberapa Adun yang berpaling tadah, gabungan BN-PN menguasai 17 kerusi berbanding 11 oleh pembangkang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS