Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kertas Pandora: Speaker kata ia harus dibawa ke JK Khas, RCI

PARLIMEN l Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun hari ini menolak usul  bagi segera membahaskan pendedahan Kertas Pandora.

Sebaliknya, dia berkata, perkara itu harus diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (Ekonomi), ataupun Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Menjawab soalan ketua pembangkang Anwar Ibrahim, Azhar berkata bahawa Kertas Pandora memang merupakan perkara penting atau berkepentingan awam.

Namun, menurutnya, ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan itu mengetepikan urusan-urusan yang telah ditetapkan Aturan Urusan Mesyuarat.

Lagipun, Azhar berkata, usul tergempar hanya akan memperuntukan masa yang terhad untuk perkara itu dibincangkan.

“Perkara itu berterusan dan boleh dibangkitkan bila-bila. Ia boleh dibangkitkan melalui prosedur lain, (seperti) soalan menteri, soal jawab lisan.

“Malah (ia juga) untuk siasatan terbuka yang Yang Berhormat (Anwar) cadangkan, maka saya rasa Yang Berhormat boleh cadangkan siasatan terbuka melalui RCI,” katanya.

Speaker juga berkata perkara berkenaan boleh dibawa ke Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (Ekonomi).

“Lebih sesuai perkara ini dibawa ke jawatankuasa khas tersebut untuk didalami dengan lebih teliti dan dengan jangka masa lebih panjang,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

Azhar seterusnya merujuk bahawa Aturan Mesyuarat yang tidak membenarkan perbahasan berdasarkan laporan berita, sebagai larangan kepada usul membincangkan Kertas Pandora.

“Pada pendapat saya, kita ada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen termasuk bidang ekonomi yang merangkumi MOF (Kementerian Kewangan) dan saya rasa lebih sesuai jika perkara ini dibawa ke jawatankuasa pilihan khas tersebut untuk didalami dengan lebih teliti dengan masa lebih panjang, oleh itu saya terpaksa menolak usul Yang Berhormat,” katanya.

Kertas Pandora yang diperolehi oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) mendedahkan rahsia kewangan 35 pemimpin dunia sekarang dan dahulu, lebih 330 ahli politik dan pegawai awam di 91 negara dan wilayah.

Antara yang disenaraikan adalah bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan Ahli Parlimen Selayang William Leong.

Anwar (Pakatan Harapan-Port Dickson) kemudiannya bersetuju bahawa Kertas Pandora harus dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Parlimen (Ekonomi).

Namun, tegasnya, bahawa perkara itu adalah masalah mendesak yang juga harus dibahaskan di Dewan Rakyat dengan segera.

Katanya, dia pertama kali membahaskan masalah rakyat Malaysia yang menyimpan wang di luar negara pada 2012, dan sehingga hari ini kerajaan belum bertindak.

“Saya nak sekurang-kurangnya, PM (perdana menteri) bagi pengakuan yes RCI akan ditubuhkan, yes siasatan terbuka dan telus akan dibuat,” katanya.

Azhar enggan berganjak, dan Anwar berkata bahawa dia akan menulis supaya usul untuk mengkaji semula keputusan speaker.

[Baca berita penuh]

Terdahulu Anwar meminta untuk menyegerakan usul membahaskan pendedahan Kertas Pandora. Pemberitahuan bersurat memohon mengemukakan usul itu dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat pada 4 Oktober.

Dalam usulnya, ketua pembangkang itu meminta dewan yang bersidang membincangkan laporan Kertas Pandora yang mendedahkan kemungkinan transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang negara disebut melibatkan beberapa tokoh politik dan ahli perniagaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Azhar menjelaskan terdapat kekangan peraturan untuk membincangkan isu itu kerana pendedahan Kertas Pandora itu adalah daripada laporan media berdasarkan kebocoran maklumat daripada berapa agensi.

“Dalam Peraturan 23 (1) (i) menjelaskan bahawa; sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan berkenaan dengan betul atau tidaknya penerangan-penerangan dalam surat khabar atau penerangan-penerangan yang dikeluarkan oleh seseorang bagi dirinya sendiri atau penerangan badan-badan kewangan.

“Dan jika saya baca peraturan ini bersekali dengan 18 (7) (c), itu pun satu kekangan peraturan… saya akui perkara (usul) ini penting… saya syor Yang Berhormat ambil prosedur lain dalam perkara ini. Jadi saya rasa cadangan (rujuk jawatankuasa pemilihan khas) itu lebih efektif daripada kita kena ketepikan Aturan Urusan Mesyuarat membincangkannya” katanya.

Peraturan 18 (7) (c) menyatakan apa-apa usul melanggar mana-mana syarat dalam Peraturan-peraturan Mesyuarat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS