Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Melaka medan uji kekuatan parti dalam PN, MN - Khairuddin
Diterbitkan:  Oct 5, 2021 9:34 PM
Dikemaskini: 1:34 PM

Pilihan raya negeri (PRN) Melaka bakal menjadi medan menguji kekuatan gabungan politik Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), kata pemimpin PAS Khairuddin Aman Razali.

“Adakah PN sahaja memadai untuk memenangi PRN atau MN sahaja sudah cukup?

“Atau sememangnya gembelengan ketiga-tiga parti adalah rahsia kemenangan,” kata bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu.

Dia dipercayai merujuk tiga parti utama dalam gabungan berkenaan, iaitu Umno, PAS dan Bersatu.

PN dianggotai Bersatu bersama PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP), dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (gerakan), selain disokong Parti Bersatu Sabah(PBS), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS), selain ahli parlimen bebas.

Umno juga pernah menjadi sekutu PN, namun menarik balik sokongannya pada Ogos.

MN pula dianggotai Umno dan PAS, dengan Bersatu pernah dicadangkan untuk turut menyertainya, namun tidak kesampaian.

 

Hubungan Umno dan parti serpihannya Bersatu tegang sejak awal kedua-keduanya menjadi sekutu di bawah kerajaan PN menerusi Langkah Sheraton tahun lalu, dengan PAS dilihat cuba menjadi pendamai buat kedua-dua parti itu ke arah pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Namun usaha PAS itu dilihat tidak menampakkan hasil memberangsangkan apabila kedua-dua parti - terutama Umno - dilihat bersedia untuk bertembung dalam PRU15 nanti, dengan ketiga-tiga parti dilihat berkongsi kubu sama - kawasan majoriti Melayu dan Islam.

Kata Khairuddin, ramai daripada ahli parti komponen gabungan itu berasakan parti mereka sudah kukuh selepas membentuk kerajaan baru hasil muafakat antara gabungan berkenaan.

Mereka juga, katanya, berasakan bahawa pengundi yang sebelum ini lari, telah kembali ke pangkuan mereka semula manakala sokongan pengundi baru pula dirasakan semakin bertambah.

”Benarkah? Maka di sinilah medan ujiannya.

“Atau akhirnya Melaka menjadi milik PH kembali akibat ketidaksepakatan parti-parti Melayu yang telah diulit rasa gah berkerajaan,” soalnya lagi.

DUN Melaka terbubar hari ini, selepas empat Adun - dua dari Umno, seorang dari Bersatu dan seorang bebas - mengumumkan menarik balik sokonga kepada kerajaan negeri BN-PN di Melaka.

Selepas pembubaran diwartakan hari ini, pilihan raya perlu diadakan dalam masa 60 hari, namun terdapat cadangan untuk mengisytiharkan darurat bagi mengelakkan PRN itu diadakan, memandangkan negara masih bergelut dalam pandemik Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS