Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin akan teliti semula status cadangan ganja perubatan

Menteri Perdagangan dan Antarabangsa Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan perlu melihat daripada perspektif yang lebih besar dalam mengembangkan keperluan industri ganja perubatan.

Sebagai maklum balas kepada celahan dari Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar), Azmin berkata meskipun ia dibincangkan sejak pentadbiran Pakatan Harapan (PH), perkara itu perlu dirujuk semula.

Katanya, ia melibatkan beberapa pindaan akta daripada Kementerian Kesihatan.

“Perkara ini telahpun dibincang, dibentang dalam jemaah menteri, beberapa pandangan telah dikemukakan, kita pun telah engage dengan beberapa pihak termasuklah ahli akademik dan pihak-pihak swasta untuk kita lihat potensi industri ini.

“Namun, saya harus merujuk semula apakah status perkara ini, kerana ia juga melibatkan beberapa pindaan akta oleh Kementerian Kesihatan yang telah dibentangkan dalam mesyuarat yang lalu.

“Kita harus melihat dari perspektif yang lebih besar tentang keperluan industri ni diperkembangkan. Namun, haruslah mengikut lunas undang-undang yang sedia ada,” katanya dalam sesi penggulungan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Syed Saddiq

Syed Saddiq 

Terdahulu, Syed Saddiq bertanya, dalam usaha kerajaan memperhebatkan industri eksport, adakah Miti akan memperhalusi cadangan untuk meluluskan kegunaan ganja perubatan,

“Saya rasa yang amat berhormat menteri pun tahu iaitu pada bulan Februari 2020 - sebelum kerajaan (PH) tumbang, sudahpun kajian dilakukan oleh Prof Aisyah dari USM dan sudah adapun mesyuarat pelarasan bagi tujuan dalam negara dan tujuan eksport ke luar negara.

“Adakah yang amat berhormat akan bincangkan perkara ini di peringkat jemaah menteri?” soal Syed Saddiq.

Pada 29 September lalu, Syed Saddiq yang juga presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Dewan Rakyat mencadangkan supaya kerajaan meneliti perbincangan terperinci berhubung kelulusan ganja sebagai rawatan alternatif.

Sambil membandingkan negara-negara lain termasuk Thailand, katanya, dia enggan melihat Malaysia ketinggalan membincangkan isu kajian penggunaan ganja dalam perubatan hanya disebabkan ia dianggap isu sensitif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS