Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Parlimen perlu bahas laporan PAC - Pengerusi JK kira-kira wang negara
Diterbitkan:  Oct 4, 2021 10:56 PM
Dikemaskini: 2:56 PM

PARLIMEN | Pengerusi PAC Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) berkata cadangan itu penting untuk dilaksanakan bagi memupuk amalan ketelusan.

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu diberikan ruang dan peluang untuk dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) berkata cadangan itu penting untuk dilaksanakan bagi memupuk amalan ketelusan dalam semua aspek terutama pentadbiran selain mendukung usaha mentransformasikan Dewan Rakyat.

Beliau berkata PAC yang dianggotai wakil blok kerajaan dan pembangkang amat berusaha keras dalam memainkan peranan untuk semak dan imbang namun memerlukan bantuan serta kerjasama semua pihak termasuk Ahli Parlimen dan agensi kerajaan.

“Laporan PAC harus diberi ruang dan peluang untuk dibahaskan (Parlimen) kerana setiap inti pati laporan itu boleh diperhalusi oleh semua Ahli Parlimen.

“Selain itu, siaran langsung secara dalam talian prosiding PAC bersama ahlinya penting untuk dilaksanakan bagi membolehkan rakyat menilai sendiri saksi yang hadir memberi keterangan,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Wong turut memberi peringatan dan teguran kepada agensi kerajaan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar mengambil berat terhadap semua syor dan teguran dalam laporan PAC serta Laporan Ketua Audit Negara.

Mengambil contoh laporan PAC mengenai kawalan pekerja asing yang dibentangkan di Parlimen tahun lepas, yang mendedahkan wujud peranan pengantara melibatkan ahli politik, beliau berkata jawatankuasa itu telah mencadangkan agar SPRM membuat siasatan namun agensi tersebut dilihat tidak mengambil berat akan syor itu.

“SPRM kemudian memberi jawapan kepada PAC bahawa isu berkenaan telah selesai disiasat dengan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) pada 2019.

“Anehnya, laporan baru dibentang pada 2020 tapi SPRM kata habis siasatan pada 2019… kenapa SPRM tidak ambil berat terhadap syor yang dikemukakan PAC,” katanya.

Sesi perbahasan RMK12 selama empat hari sejak 28 Sept lepas menyaksikan seramai 106 Ahli Parlimen mengambil bahagian dan esok akan bermula pergulungan oleh kementerian berkenaan.

Persidangan dewan bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS