Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis Kelantan sedang mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Mat Utan yang dikehendaki bagi menyelesaikan kes samun di tepi jalan Kampung Bukit Mak Lipah, Bachok, pada 19 September lalu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohammad Ismail Jamaluddin berkata, suspek bernama Mohd Yustam Fahmi Sanusi, 33, atau lebih dikenali sebagai Mat Utan beralamat di Kampung Bukit Mak Lipah, Melor.

Katanya, suspek itu mempunyai tiga rekod lampau iaitu kesalahan berkait dadah dan kes pecah rumah.

"Sebelum disamun, mangsa yang bekerja sebagai buruh menunggang motosikal dalam perjalanan ke rumah mentuanya di Kampung Lundang Paku, Ketereh, Kota Bharu, untuk melihat isterinya yang sedang berpantang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dihalang oleh sebuah motosikal jenis Honda RS 150 yang dinaiki seorang lelaki dikenali dengan nama panggilan Mat Utan yang menyuruhnya berhenti.

"Lelaki itu kemudian naik ke belakang motosikal mangsa dan terus mengacukan sebilah pisau ke lehernya sambil meminta mangsa serahkan barang," katanya kepada media, hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudian menyerahkan sebuah telefon bimbit dan beg yang mengandungi kad pengenalan diri serta kad nikah.

"Mangsa cuba melarikan diri dan ketika mahu melarikan diri, dia terjatuh dari motosikal hingga mengalami luka pada lengan kanan, siku kiri dan lutut kiri. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian RM200 dan tampil membuat laporan polis.

"Sehubungan itu orang ramai yang mengenali atau melihat suspek boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok atau tampil ke balai berdekatan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS