KERTAS PANDORA | Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin mengkritik apa yang disifatkannya sebagai "obsesi tidak berkesudahan" Malaysiakini terhadapnya, susulan laporan berhubung firma pemegang amanah luar pesisir yang berkaitan dengannya.
Daim berkata bukan semua pemegang amanah yang disenaraikan adalah miliknya dan semua urus niaga yang dijalankannya adalah sah.
Dia berkata pemegang amanah adalah sebahagian daripada "perancangan harta pusaka" memandangkan dia telah bersara daripada perniagaan.
Justeru, dia berkata laporan yang menyiratkan salah laku secara innuendo dan spekulasi adalah "tidak profesional" dan satu percubaan untuk mencemarkan nama baiknya.
Menurut Daim, sebahagian pemegang amanah yang disebut dalam laporan Malaysikini adalah milik anak-anaknya sementara yang lain berkaitan dengan sebuah bank Swiss miliknya, ICB Banking Group, yang telah dinyah senarai selepas dia tidak lagi mahu menghadiri mesyuarat di luar negara.
Katanya lagi, dia sentiasa membayar cukai bagi semua pelaburan dan hartanah dan menjadi ahli perniagaan yang "berjaya dan kaya" atas usaha sendiri.
"Saya sudah terlibat dalam perniagaan sejak 1960-an. Sudah lebih 60 tahun, separuh abad sejak itu.
"Saya fikir sedikit pengiktirafan perlu diberikan kepada seorang warga Malaysia yang berjaya membawa nama negara dalam perniagaan di sini dan seluruh dunia," katanya lagi.
Berikut adalah respons penuh Daim kepada Malaysiakini, yang diterjemah daripada bahasa Inggeris:
Saya tidak pasti tujuan artikel anda dan obsesi tidak berkesudahan yang nampaknya ada pada Malaysiakini terhadap saya.
Pelaporan kerap yang menyiratkan salah laku menerusi innuendo dan spekulasi amat tidak profesional dan kelihatan seperti misi tidak berpenghujung untuk mencemarkan nama baik dan memalukan saya. Saya tidak faham apa motif Malaysiakini dan saya tidak mahu berspekulasi.
Jika anda membaca laporan KiniBiz terbitan anda sendiri banyak tahun lalu dan balasan panjang lebar saya terhadapnya, isu penglibatan saya dalam perniagaan telah diperkatakan berulang kali, ad nauseum.
Bagaimanapun, dan perlu ditegaskan sekali lagi, saya adalah ahli perniagaan yang berjaya dan kaya lama sebelum masuk politik, dan ada rekod yang cukup tentangnya.
Perniagaan adalah cinta pertama saya dan politik adalah khidmat kepada negara. Selepas bersara daripada politik, saya kembali kepada perniagaan.
Dan saya ingin tambah, selepas saya kembali kepada perniagaan, alhamdulillah, saya juga agak berjaya. Tetapi saya telah bersara daripada perniagaan agak lama dan pemegang amanah adalah sebahagian daripada perancangan harta pusaka (estate planning).
Saya juga telah menubuhkan pemegang amanah untuk kebajikan di sini dan luar negara.
Mana-mana pemegang amanah yang ditubuhkan anak-anak saya adalah keputusan mereka, dan saya tiada pengetahuan tentangnya. Anak-anak saya sudah cukup tua untuk menguruskan kehidupan sendiri dan saya tidak terbabit; anak perempuan sulung saya sudah menjadi nenek.
Bukan semua pemegang amanah yang anda sebut (dalam permintaan Malaysiakini untuk respons) milik saya. Ada banyak perniagaan di Malaysia dan seluruh dunia dengan nama ICB, dan saya tiada pengetahuan tentangnya.
ICB yang dimiliki saya beroperasi di 14 negara dalam tiga benua, dan berjaya disenaraikan di London. Saya telah nyah senaraikannya selepas sedar yang saya sudah terlalu tua untuk mengelilingi dunia dan tiada anak-anak saya yang mahu mengambil alihnya.
Perlu juga disebut yang perniagaan perbankan dikawal selia dan melalui semakan yang ketat di pelbagai negara di mana perniagaan saya beroperasi.
Sebarang aset saya di luar negara, saya membelinya berdekad yang lalu. Saya telah membeli hartanah di luar negara sejak 1960-an dan sebelum masuk politik. Selama itu saya membuat jual beli dan apa yang saya kekalkan pegangan, pastinya, meningkat nilainya. Hartanah-hartanah ini diuruskan secara profesional dan memberi pulangan baik.
Saya boleh sahkan yang cukai dibayar sepenuhnya di setiap tempat (jurisdictioan) di mana saya jalankan perniagaan dan raih pendapatan.
Sebagai kata akhir, saya sudah terlibat dalam perniagaan sejak 1960-an. Ia sudah lebih 60 tahun, separuh abad sejak itu.
Saya fikir sedikit pengiktirafan perlu diberikan kepada seorang warga Malaysia yang berjaya membawa nama negara dalam perniagaan di sini dan seluruh dunia.
Berita berkaitan:
Bagaimana Daim, orang kaya Malaysia guna Singapura simpan duit di luar negara
Menteri, ahli politik dan hartawan Malaysia didedah jadi pemilik syarikat pesisir